
“Shahir Cuma Datang Beraya, Bukan Rombongan Merisik” – Erra Fazira
Pelakon Erra Fazira menjelaskan kunjungan Shahir Zawawi bersama ahli keluarganya pada sambutan 1 Syawal adalah di atas tujuan untuk beraya semata-mata bukan menghantara rombongan merisik.
Menurut Erra, kunjungan itu bukanlah bertujuan sesuatu yang istimewa mengenai perhubungan mereka sebaliknya ia bertujuan untuk mengeratkan silahtuhrahim sempena musim perayaan kali ini.
“Raya pertama hari itu Shahir datang bersama keluarganya untuk beraya bukan menghantar rombongan untuk merisik. Saya dah lama kenal keluarganya.
“Mereka hanya datang beraya sahaja. Malah tiada masakan istimewa pun untuk dia hanya juadah raya saja,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Erra ditemui pada majlis pelancaran filem Bikin Filem di The Strand, Kota Damansara baru-baru ini. Bikin Filem yang diarahkan Latif Zami bakal ditayangkan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.
Selain Erra, ia turut dibintangi Scha Al-Yahya, Azhan Rani, Sherry Al-Hadad, Azrel Ismail dan Sharifah Sakinah.
Menceritakan lebih lanjut mengenai perhubungannya dengan pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, Erra berkata mereka masih lagi dalam fasa berkawan seperti yang diketahui umum.
“Pakaian raya pun tidak sedondon. Anda pasti dengan kecewa dengan jawapan saya kerana kami masih berkawan dan terimalah jawapan itu untuk masa sekarang,” jelasnya lagi.
Sementara itu ketika ditanya mengenai sambutan Syawalnya, Erra beraya bersama anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, sembilan tahun.
“1 Syawal hari itu saya beraya dengan Aleesya dan kemudian raya kedua, giliran dia beraya bersama ayahnya pula. Proses silih berganti beraya masih lagi kami kekalkan,” katanya.
Erra berkahwin dengan Emran pada 25 Oktober 2007 namun bercerai selepas tujuh tahun kemudian. – KopiPlanet.com



