
Sunny Suwanmethanon Tak Tahu Dirinya Popular Di Malaysia
Pelakon filem Brother of the Year, Sunny Suwanmethanon mengatakan dia sama sekali tidak mengetahui atau menyedari yang namanya cukup dikenali di Malaysia.
Menurut Sunny, ini merupakan kunjungan kali pertamanya ke Malaysia dan tidak menyangka kehadirannya ke sini mendapat sambutan hangat daripada peminat tempatan.
“Saya tak tahu pun nama saya dikenali di sini. Ini pun merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Siapa yang berada dalam dewan ni mengenali saya, sila angkat tangan anda,” seloroh Sunny.
Sunny, 37, ditemui pada majlis sidang media bersama pelakon dan pengarah Brother of the Year di Hotel Le Meredien, Putrajaya semalam.
Filem yang mencatat kutipan pecah panggung di Thailand itu kini mula disiarkan di semua pawagam GSC Cinemas bermula 28 Jun lalu.
Menerusi filem itu, aktor kacukan Thailand-Perancis tersebut membawakan watak sebagai Chut, seorang abang yang selalu menyusahkan adik perempuannya, Jane.
Sunny yang sinonim dengan filem bergenre komedi romantik berkata, watak Chut tidak susah untuk dilakonkan olehnya.
“Saya tiada sebarang kesukaran untuk melakonkan watak Chut sebab dua gandingan utama saya, Yaya dan Nickhun beri kerjasama dan mudah untuk kami cipta keserasian di set.
“Yang bezanya dalam filem ini saya bawa watak abang tapi dalam kehidupan sebenar saya merupakan anak bongsu daripada tiga beradik,” katanya lagi.
Sementara itu, heroin filem ini, Urassaya Sperbund, 25, memuji lakonan Sunny yang disifatkan sebagai seorang pelakon profesional ketika berada dalam set penggambaran.
“Bayangkan dia langsung tidak membawa skrip ketika di set dan sudah mempersiapkan diri dengan watak lakonannya. Saya senang sekali bekerja dengan Sunny,” ujar aktres kacukan Thailand-Norway ini.
Selain Sunny dan Urassaya, Brother of the Year yang diarahkan Witthaya Thongyooyong turut dibintangi ahli kumpulan K-Pop 2PM, Nickhun yang memainkan watak sebagai kekasih Jane yang bernama Moji. – KopiPlanet.com




