
Sejak dilancarkan pada 18 Jun lalu, tabung dana filem Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen arahan Bront Palarae setakat ini sekadar berjaya mengumpul sebanyak RM14,620.
Bront sebelum ini berkata, pihaknya memerlukan dana sebanyak RM2 juta bagi menyempurnakan penghasilan filem tersebut.
“Kami dapat banyak sokongan daripada orang yang mewar-warkan kempen ini, tetapi daripada segi kewangan tidak berapa dapat sambutan sangat.
“Kami masih jalankan kempen ini yang bermula dari 18 Jun lalu dan setakat ini Alhamdulilah dah terkumpul lebih RM14,000,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.
‘Dawn Raid’ adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 7 September 1981 tentang bagaimana Malaysia dapat membeli saham Guthrie Consolidated.
Filem yang berlatar belakangkan tahun 1981 itu menceritakan pemilik ladang Guthrie Group pada asalnya sebuah syarikat perdagangan British telah berjaya dikuasai oleh Malaysia selepas kerajaan melakukan satu ‘serangan’ di London Stock Exchange.
Antara barisan pelakon yang sudah dipilih untuk menjayakan projek filem terbitan Pixel Play ini ialah Datin Sofea Jane dan Iedil Putra.
Menurut Bront, bukan tiada pelabur asing yang mahu membuat pelaburan bagi filem ini, namun dia tidak mahu projek filemnya itu kelak mendapat ‘campur tangan’ daripada orang luar.
“Ada orang luar yang berminat nak melabur dalam filem ini, tetapi ia akan datang daripada perspektif orang luar. Bagi saya, kalau lagi kurang penglibatan orang luar lagi bagus. Kalau boleh saya mahu menerbitkan filem ini dengan menggunakan dana dari orang Malaysia sendiri,” ujarnya lagi.
Bagi membantu projek ini, anda boleh melayari www.reward.pitchin.my/projects/dawn-raid-the-hands-that-rattled-the-queen. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Bront Palarae




