
Instagram Digodam, Aprena Manrose Hampir Jadi Mangsa Penipuan
Pelakon Aprena Manrose mengakui berasa sedih akaun Instagramnya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan laman sosialnya kini tidak dapat berfungsi seperti biasa.
Menurut Aprena, dia sekarang dalam usaha untuk mendapatkan kembali akaun Instagramnya yang mempunyai lebih daripada 390,000 pengikut.
“Instagram saya digodam baru-baru ini bila saya secara tidak sengaja tertekan link ‘verified account’. Kita bangun pagi tak perasan tertekan. Lepas itu terus saya tengok akaun saya kena godam.
“Saya cuba dapatkan semula bila ada netizen yang menawarkan bantuan, tetapi dengan syarat kena bayar dia dulu. Saya tak teruskan sebab takut itu adalah satu scam (penipuan),” katanya kepada KopiPlanet.com.
Aprena ditemui pada majlis rumah terbuka Da Motion Media dan pelancaran filem Jodoh Syaitan di Lake Park Residence, Selayang semalam.
Menurut anak kepada penyanyi dangdut Iwan dan pelakon Allahyarhamah Rosnah Mohd No0r ini, dia berasa sedih dan kesal dengan perkara itu hingga menyebabkan dia tidak dapat mempromosikan segala produk lakonannya di laman sosial yang mendekatkannya dengan peminat.
“Saya sedikit kesal sebab macam-macam urusan saya tergendala disebabkan hal ini. Antaranya, review berbayar terpaksa dibatalkan selain saya tidak dapat mempromosikan filem dan drama lakonan kepada hampir 400,000 pengikut di Instagram.
“Mungkin bagi orang lain 390,000 pengikut itu sedikit, namun ia dah cukup banyak buat saya yang merupakan pendatang baharu dalam industri,” katanya lagi yang kini sedang berusaha mencari jalan bagi mendapatkan semula akaunnya itu.
Sementara itu, Aprena, 25, bakal muncul dengan filem pertama lakonannya berjudul Jodoh Syaitan terbitan syarikat DA Motion Media.
Menerusi filem bergenre seram komedi itu, Aprena atau nama sebenar, Wan Syahira Putri Aprena Wan Syahman bakal bergandingan dengan Sofi Jikan, Wan Hanafi Su, Abam Bocey, Jay Iswazir dan Fauziah Nawi.
“Kami akan memulakan penggambaran pada 18 Julai ini bertempat di sekitar Pasir Puteh, Kelantan dan Jertih, Terengganu.
“Saya berasa terharu apabila dipilih menjayakan filem ini apatah lagi bergandingan dengan pelakon-pelakon berbakat besar seperti Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi dan Sofi Jikan,” ujarnya lagi.
Jodoh Syaitan yang akan diarahkan Ismail Bob Hasim dijangka menelan kos penerbitan sebanyak RM800,000. – KopiPlanet.com