Cerita ArtisHiburan

Hairul Azreen Cerita Pengalaman Nyaris Dipatuk Ular Tedung

Pengalaman nyaris maut akibat dipatuk ular tedung membuatkan pelakon Hairul Azreen Idris, 30, menginsafi diri tentang kematian.

Menurut Hairul, insiden itu berlaku ketika dia sedang berehat di kawasan Rawat & Rehat (R&R) Bukit Jelutong, Shah Alam, Ahad lalu selepas melakukan aktiviti berbasikal bersama rakan-rakannya.

“Insiden berlaku ketika saya sedang menunggu seorang rakan yang masih belum sampai di tempat kami berkumpul untuk lakukan aktiviti mengayuh basikal. Masa itu saya sedang baring di atas rumput dan ada longkang berdekatan kaki saya. Ular itu ada dalam longkang dan betul-betul berada di celah kelangkang saya. Kalau kawan saya tak tegur memang saya tak tahu apa jadi dengan nasib saya pada ketika itu.

“Kemudian saya terus ambil basikal dan pergi dari situ serta-merta. Saya toleh tengok ular itu dah mengepak dah macam nak mematuk. Saya bernasib baik kerana ular itu tidak kejar. Kalau tidak, mungkin saya dah mati masa itu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Hairul ditemui pada majlis pelancaran trailer dan runut bunyi filem Paskal di GSC Signatures The Gardens, Kuala Lumpur hari ini

Menurut suami kepada pelakon dan pengacara Hanis Zalikha itu, insiden terbabit telah menyebabkannya menginsafi diri tentang kematian.

“Kejadian ini membuatkan saya berfikir macam mana kalau saya betul-betul dah tiada. Adakah cukup amalan saya ketika di dunia untuk dijadikan bekalan ke akhirat. Ia benar-benar menginsafkan saya. Sekarang saya cuba menjaga solat dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hairul kini sedang giat menjalani latihan mengayuh basikal demi menjayakan misi Ironman Langkawi 2018 yang turut disertai rakan artis, Ammar Alfian dan Hafizul Akmal.

“Saya kini dah mula berjinak-jinak dengan sukan berbasikal selepas diajak oleh pengarah Paskal, Adrian Teh. Kami giat buat latihan bagi misi Ironman yang akan diadakan di Langkawi pada November ini.

“Kiranya saya dah jatuh cinta dengan sukan berbasikal gara-garakan pujukan Adrian. Yang penting isteri turut menyokong kegilaan baharu saya ini,” jelasnya lagi. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button