EventHiburan

Siti Nurhaliza Bakal Kembali Gegarkan Royal Albert Hall London

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan kembali menggegarkan industri hiburan dengan konsert di Royal Albert Hall, London serta tiga konsert jelajah di Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur tahun hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, konset Datuk Seri Siti Nurhaliza on Tour akan diuruskan seperti konsert artis antarabangsa.

“Kami akan uruskan persiapan konsert Datuk Siti seperti konsert artis antarabangsa yang mana memberi penelitian terhadap setiap sudut konsert tersebut termasuk daripada aspek teknikal.

“Untuk konsert jelajah ini juga kami akan bawakan dua pemuzik bebas dari New York yang akan mengiringi persembahan Datuk Siti,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Shirazdeen ditemui pada majlis sidang media Datuk Seri Siti Nurhaliza on Tour yang berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.

Konsert berskala besar yang dibawakan Shiraz Projects akan menjelajah Istora Senayan, Jakarta pada 21 Februari 2019, Singapore Expo, Singapura (2 Mac), Axiata Arena, Kuala Lumpur (16 Mac) dan London (22 April).

Sementara itu, Siti berkata beliau sudah membuat persiapan sejak dua bulan lalu lebih-lebih lagi bagi mempertingkatkan staminanya.

“Saya akan melakukan senaman dan berdiet bagi mendapatkan stamina serta bentuk badan ideal bagi menyiapkan diri untuk konsert jelajah ini. Malah, saya akan buat sebaik yang mungkin agar tidak mensia-siakan wang yang telah dilaburkan peminat untuk menonton konsert ini kelak.

“Tidak boleh tidak, saya mesti akan menyanyikan lagu-lagu popular yang telah memperkenalkan saya di industri sejak kemunculan sehingga kini. Cumanya, saya akan cuba buat kelainan dari segi susunan muzik agar ia dapat memberikan nilai tambah kepada konsert ini,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, penyanyi  kelahiran Indonesia, Tulus turut diundang sebagai penyanyi jemputan di ketiga-tiga konsert tersebut.

Tiket konsert berharga RM1,295 (Meet & Greet), RM495, RM355, RM255, RM155 dan RM105 boleh didapati menerusi www.mytickets.asia mulai 26 Disember ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button