
Aaron Aziz Berang Tertipu Scammer Guna Gambar Bayi Minta Derma
Pelakon Datuk Aaron Aziz menerusi laman Instagramnya mendedahkan beliau membuat satu laporan polis berhubung penipuan individu yang menggunakan gambar seorang bayi yang sudah meninggal dunia bagi mengutip derma menerusi laman sosial.
Menurut Aaron, beliau turut memohon maaf kepada pengikutnya kerana terlebih dahulu tidak membuat penelitian secara mendalam sebelum berkongsikan maklumat berhubung kutipan derma tersebut.
“Assalamualaikum, ini follow up dari kes semalam yang saya dah padam. Saya ambil dari Facebook Persatuan Kanser Bersatu Malaysia, saya dah telefon nombor itu semua, Facebook nampak macam betul.
“Saya sudah buat laporan polis, biarlah polis buat siasatan selanjutnya, siapa bersalah, biarlah kita tahu nanti,” ,” katanya memetik video yang dikongsikan di Instagramnya.
Ujar Aaron, selalunya dia merupakan seorang yang sememangnya sangat berhati-hati untuk berkongsi sesuatu di media sosial.
“Kali ini tengok gambar seorang bayi membuatkan saya terlalu beremosi. Saya minta maaf semua,” ujarnya yang membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam.
Semalam, Aaron ada berkongsikan gambar mengenai seorang bayi yang memerlukan bantuan akibat penyakit kanser namun menerusi pemerhatian, bayi yang dimaksudkan itu sudah pun meninggal dunia pada April 2017.
Sementara itu, pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu yang turut berkongsi informasi mengenai kutipan sumbangan derma itu turut melahirkan perasaan kecewa dengan perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu yang sewenang-wenangnya menggunakan taktik keji sebegitu demi meraih wang dengan cara yang mudah. – KopiPlanet.com