Cerita ArtisHiburan

Adi Priyo Tak Kisah Bagi Lagu Secara Percuma

Vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo mendedahkan dia tidak kisah memberikan lagu ciptaannya secara percuma sekiranya ketiga-tiga penyanyi ini sudi untuk menyanyikan lagu ciptaannya.

Menurutnya, ketiga-tiga penyanyi yang dimaksudkan itu adalah Anuar Zain, Ziana Zain dan Misha Omar, yang kesemuanya merupakan idolanya.

“Sebenarnya memang keinginan saya dari dahulu lagi nak Anuar Zain, Ziana Zain dan Misha Omar dapat menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya. Kalau mereka sudi nak nyanyikan lagu ciptaan saya, sudah tentu saya tak kisah bagi free lagu tersebut kepada mereka untuk dinyanyikan.

“Ini disebabkan mereka merupakan antara penyanyi yang sangat berbakat dan ketiga-tiganya adalah idola saya dalam bidang nyanyian,” katanya yang dikenali dengan nama pena Manusia Putih dalam bidang penciptaan lagu.

Adi berkata demikian ketika ditemui KopiPlanet.com ketika majlis pelancaran lagu soundtrack (OST) filem Pinjamkan Hatiku yang juga berjudul Pinjamkan Hatiku, nyanyian duetnya bersama Ayda Jebat yang berlangsung di Red Box Karaoke, The Gardens, baru-baru ini.

Adi Priyo kali pertama berduet dengan penyanyi wanita iaitu Ayda Jebat menerusi lagu Pinjamkan Hatiku yang juga merupakan OST untuk filem Pinjamkan Hatiku yang akan ditayangkan pada 30 November ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu 6ixth Sense, Adi memberitahu mereka kini sedang dalam proses mengumpul material untuk single terbaharu yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Adi juga turut menjelaskan 6ixth Sense masih lagi aktif, namun buat masa ini mereka lebih selesa menumpukan perhatian terhadap penerbitan album artis-artis lain terlebih dahulu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button