
Aishah Muncul Dengan Single Pertama, Malar Lepas Keluar GV4
Penyanyi Aishah yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya kini tampil dengan single terbaharu berjudul Malar.
Menurut Aishah atau nama lengkapnya, Wan Aishah Wan Mohd Ariffin, 53, Malar merupakan single pertamanya selepas membuat kemunculan semula menerusi program realiti nyanyian Gegar Vaganza 4 (GV4) tahun lalu.
“Ini merupakan single terbaharu selepas hampir lapan tahun saya tiada lagu baharu. Lagu ini merupakan hasil ciptaan rakan artis dalam GV4 iaitu Hazami.
“Saya sendiri bertemu dengan pihak pengurusan Hazami untuk memintanya mencipta sebuah lagu dan terhasillah Malar. Lagu ini membawa mesej tentang hubungan kita dengan manusia dan juga pencipta.
“Saya masih mengekalkan genre balada kerana sudah sinonim dengan lagu berentak sebegitu sejak dari dahulu lagi,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Aishah ditemui pada majlis santai pengenalan single Malar di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Aishah turut menambah muzik video Malar pula akan direkodkan pada bulan hadapan menggunakan khidmat sebuah syarikat penerbitan video popular.
“Konsep muzik video masih lagi dalam perbincangan dan ia akan direkodkan pada bulan hadapan. Saya tak sabar tunggu penerimaan peminat terhadap single ini kerana bagi saya susunan lagu ini kedengaran sedikit berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya nyanyian sebelum ini,” katanya lagi. – KopiPlanet.com



