Cerita ArtisHiburan

Aizat Dedikasi Lagu SKHT Versi Hindi Untuk Bapa Tercinta

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aizat Amdan tampil dengan kelainan menerusi single terbaru Sehingga Ke Hari Tua (SKHT) yang turut dibuat dalam versi bahasa Hindi.

Menurut Aizat, 29, dia mengambil peluang untuk menyanyikan lagu dalam bahasa asing sebagai memenuhi impian bapa tercinta, Datuk Amdan Mat Din yang kini terlantar sakit akibat penyakit strok yang menyerangnya sejak enam bulan lalu.

“Memang saya cipta lagu Sehingga Ke Hari Tua versi bahasa Hindi untuk memenuhi hasrat bapa saya yang memang dah lama nak tengok saya cuba nyanyi lagu selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya dedikasikan lagu ini untuknya walaupun bapa saya kini tak boleh bercakap. Namun, apabila diperdengarkan lagu ini kepadanya saya cuma boleh rasakan yang beliau berbangga dengan apa yang saya buat,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single Sampai Ke Hari Tua dan persembahan mini showcase di Kota Damansara, semalam.

Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan bapanya kini, Aizat berkata bapanya berada dalam keadaan stabil selain dibantu oleh jururawat persendirian.

“Keadaan ayah saya bertambah baik, cuma badannya semakin bertambah kurus. Ayah kini terlantar dan kalau nak bergerak kena gunakan kerusi roda. Kami adik-beradik menjaganya dibantu dengan pertolongan jururawat lelaki. Masa mula-mula ayah saya kena serang strok, saya memang putus harap pada ketika itu. Alhamdulillah, sekarang ayah dah semakin stabil.

“Untuk menyanyikan lagu versi Hindi, saya berguru dengan Jassi iaitu jururawat tersebut yang menolong saya menulis lirik dalam bahasa Hindi dan saya cuma ambil masa selama tiga hari sahaja untuk hafal lirik.

“Bagi saya, merakamkan lagu berbahasa Hindi merupakan satu perkara yang mengujakan dalam karier seni saya. Selain itu, ia juga bagi memenuhi hasrat ayah yang nak tengok saya nyanyi lagu dalam bahasa asing. Kalau versi yang ini dapat sambutan, tak mustahil saya akan rekodkan dalam bahasa Mandarin pula selepas ini,” katanya.

Versi Hindi SKHT boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Joox dan iTunes bermula 27 April ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button