Cerita ArtisHiburan

Aizat Tunai Hasrat Bapa, Rakam Lagu Tribute Kepada PM

Penyanyi Aizat Amdan berasa puas apabila dapat menunaikan hasrat bapanya Datuk Amdan Mat Din untuk merakamkan single Harapan Jadi Nyata yang dibuat khas untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Aizat, melodi lagu tersebut dicipta olehnya manakala liriknya pula ditulis bapanya sendiri.

“Sejujurnya inspirasi lagu ini datang daripada ayah saya yang ingin menzahirkan perasaan hormat dan kagumnya kepada Tun M yang merupakan pemimpin idolanya.

“Lagu ini hanya ingin memberi penghormatan kepada Tun Mahathir setelah begitu lama berjasa pada negara. Saya tak menyangka beliau akan naik sekali lagi sebagai perdana menteri.

“Memang perfect timing saya keluarkan lagu ini dan saya memang tiada sebarang agenda sebaliknya mahu memberi lebih variasi untuk lagu bergenre patriotik,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran single Harapan Jadi Nyata di Neo Damansara, hari ini.

Menurut Aizat, 29, lagu ini sebenarnya sudah lama dicipta sejak tujuh tahun lalu namun hanya pada April lalu dia berkesempatan merakamkan single tersebut di sebuah studio Emil Berliner di Berlin, Jerman.

“Saya hanya ambil masa selama lima jam untuk rekod lagu ini di sebuah studio di Berlin yang mana sudah lama jadi impian saya untuk rekod di sana.

“Ramai artis antarabangsa popular pernah rekod lagu di situ antaranya David Bowie dan kumpulan U2,” katanya lagi.

Sementara itu ketika ditanya tahap kesihatan bapanya, Aizat berkata bapanya dalam keadaan stabil.

Bapa Aizat menghidap penyakit strok yang menyebabkannya bahagian kanan badan lumpuh sejak setahun lalu.

“Ayah saya dalam keadaan stabil, kami sekeluarga berharap dia sembuh seperti sedia kala.

“Kini saya dan adik beradik bergilir-gilir jaga bapa kami selain dengan bantuan jururawat lelaki yang diupah.

“Berkenaan lagu ini, ayah saya cukup gembira bila saya kata akan rekod lagu ini. Kalau boleh saya nak Tun Mahathir dengar lagu ini dan kalau Tun ada kelapangan boleh melawat bapa saya, mana tahu kalau Tun datang, ayah saya boleh sembuh,” seloroh Aizat. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button