Cerita ArtisHiburan

Aprena Manrose Azam Nak Timang Cahaya Mata Tahun Ini

Setelah empat tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Aprena Manrose atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 27, berazam untuk menimang cahaya mata pertama tahun ini.

Baharu sahaja menjalani rawatan kesuburan bersama suami, Mohd Afiz Hazman pada Disember lalu, Aprena berharap impiannya itu akan dikabulkan Allah SWT. Aprena berkahwin dengan Afiq pada tanggal 12 November 2016.

“Sebenarnya azam saya pada tahun ini adalah nak timang cahaya mata. Ini merupakan tahun keempat saya berkahwin dan semestinya saya mengimpikan nak ada baby.

“Perasaan nak ada anak itu cukup kuat apabila sekarang saya sudah mencapai semua impian saya seperti berlakon drama dan filem. Kami tidak pernah merancang sebelum ini cuma belum lagi dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Disember lalu, saya dan suami ada pergi menjalani proses rawatan kesuburan dan keputusan masih belum diketahui dan sekiranya doktor memberikan nasihat untuk menjalani rawatan IVF, mungkin kami akan pertimbangkan.

“Suami langsung tidak memberikan tekanan kepada saya sebaliknya dia sangat memahami. Cuma perasaan itu membuak-buak nak ada anak selepas saya dan kak Elizad (pelakon Elizad Sharifuddin) ada berborak mengenai perkara itu dan dia pun sekarang dalam rawatan.

“Untuk tujuan itu, saya pun dah ada rancangan untuk memperlahankan sedikit aktiviti kerja agar dapat berehat dengan secukupnya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jodoh Syaitan yang diadakan di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Selain Aprena, Jodoh Syaitan yang diarahkan Ismail Bob Hasim turut dibintangi Sofi Jikan, Allahyarham Abam Bocey, Fauziah Nawi, Jay Iswazir dan Kamarool Hj. Yusoff. Filem terbitan Da Motion Media itu bakal ditayangkan di 92 pawagam tanah air bermula 12 Mac ini.

Filem bergenre komedi seram itu mengisahkan seorang pemuda, Megat yang tidak mengetahui dirinya telah berkahwin dengan pontianak jelita. Perkahwinannya dengan wanita itu telah membuatkan hubungannya dengan ibu dan dua rakan baiknya menjadi keruh disebabkan kehadiran ‘wanita’ itu dalam hidupnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button