• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Bawa Watak Perisik, Ebi Kornelis ‘Tiru’ Gaya Lakonan Jason Statham

Tampil dengan filem terbaharu lakonannya yang berjudul M.O.X: Misi Operasi X, Ebi Kornelis mengakui dia sedikit sebanyak mengambil rujukan daripada aktor Hollywood pujaannya, Jason Statham.

Menjayakan peranan sebagai agen perisik, Ebi atau nama sebenarnya, Firdaus Yaimal, 36, berkata dia amat mengagumi cara lakonan pelakon kelahiran British itu yang disifatkan cukup menyerlah menerusi pelbagai filem aksi yang pernah dilakonnya.

“Saya ada buat sedikit ‘homework’ apabila mendapat tawaran sebagai agen perisik dan salah satu rujukan saya ialah Jason Statham. Saya cukup gemarkan lakonan bersahajanya dan dari situ saya cuba aplikasikan mengikut cara saya.

“Mengenai babak yang saya tayang badan dalam filem ini, ia bukan disengajakan sebaliknya hanya mengikut tuntutan pengarah sahaja dan saya hanya menghormati naskhah pengarah.

“Jika selepas ini saya mendapat tawaran yang memerlukan saya beraksi sedemikian, kalau yang melampaui batas sudah tentu saya tolak. Tapi saya percaya pengarah pun tahu kita ada Lembaga Penapisan Filem yang akan menapis apa yang boleh dan tidak boleh ditayangkan di pawagam,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem M.O.X: Misi Operasi X yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Filem arahan Datuk Zulkifli M. Osman itu turut dibintangi Tya Ariffin, Zaidi Omar, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan Radhi Khalid.

Berkongsi lebih lanjut tentang wataknya, Ebi berkata antara cabaran yang perlu dihadapinya ialah untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia dengan betul memandangkan dia sudah terbiasa berkomunikasi dengan menggunakan ‘slang’ Sabah yang agak pekat.

“Bagi saya antara cabarannya ialah apabila saya perlu bercakap Bahasa Malaysia yang selalu dituturkan orang di Semenanjung. Ia tidak berapa sukar untuk tapi saya tapi untuk buat ia kelihatan natural itu yang sedikit susah sebab ‘accent’ Sabah saya keras sikit.

“Tapi apa-apa pun filem ini telah memberikan satu pengalaman baharu buat saya dan diharapkan penonton terhibur dengan filem ini,” katanya lagi.

M.O.X: Misi Operasi X yang diterbitkan Wallworld Pictures Sdn. Bhd itu bakal ditayangkan di 66 pawagam seluruh negara bermula 21 November ini. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend