
Bella Astillah Mahukan Ketenangan, Enggan Kongsi Video Kepada Umum
Isteri kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, Bella Astillah menyatakan buat masa ini dia mahukan ketenangan untuk berbincang dengan ahli keluarga dan mendekatkan diri dengan Allah.
Bella menerusi laman sosial Instagramnya berkata, dia juga berkata kini berasa lega apabila mendapat tahu kebenaran dan berani bersemuka untuk mengaku kesalahan dan meminta maaf.
“Ramai yang meminta saya untuk post video, ada juga segelintir mengatakan saya fitnah. Saya tidak akan sesuka hati ikut emosi untuk post tanpa bukti.
“Tapi setelah saya fikir adalah lebih baik saya tunjuk kepada keluarga dan yang terlibat sahaja. Maaf yang tersinggung dengan cara saya berkongsi masalah ini,” jelasnya.
Menurut Bella, apabila isu antara suaminya dan Octovia Manrose timbul, dari semasa ke semasa dia menerima banyak mesej daripada memberi kata-kata nasihat, sokongan, dorongan sehinggalah kecaman.
Ujarnya, dia juga menerima dengan hati yang terbuka terhadap semua yang berlaku dan menganggap ia semua adalah ujian yang datang silih berganti.
“Saya juga manusia biasa yang pasti buat kesilapan. Seandainya ada segelintir dan mana-mana pihak yang mengatakan pendapat mereka soal perkongsian saya berkenaan rumah tangga kelmarin adalah salah, mungkin pandangan setiap manusia lain-lain termasuklah saya.
“Semoga ramai menjadikan ini sebagai iktibar kerana ada wanita yang takut untuk bersuara. Segala yang baik kita perbaiki jadikan teladan malah yang tidak baik sebagai sempadan,” luahnya. – KopiPlanet.com




