Cerita ArtisHiburan

Berlakon Filem Geran Ibarat Mimpi Jadi Kenyataan Buat Feiyna Tajudin

Pelakon baharu, Feiyna Tajudin menyifatkan penglibatannya dalam filem aksi silat, Geran ibarat pucuk dicita ulam mendatang memandangkan dia mempunyai kemahiran bersilat yang dipelajarinya sejak dari sekolah rendah.

Menurut Feiyna, ketika dilamar pengarah Areel Abu Bakar untuk membintangi filem tersebut, jiwanya seakan meronta kegembiraan kerana akhirnya dia berjaya mendapatkan naskhah yang benar-benar dekat dengan jiwanya.

“Ketika dilamar untuk berlakon dalam filem Geran memang saya rasa sangat bersemangat nak buat sebab kita dah ada jati diri seorang pesilat. Cuma ada timbul sedikit kurang keyakinan sebab dah lama tidak berlatih tapi saya harap lakonan saya dapat memuaskan hati semua pihak.

“Bila dapat berlakon dalam filem ini, saya dah nampak hala tuju perjuangan saya dalam bidang seni. Selagi seni itu bernama silat, memang saya tidak akan teragak-agak untuk membintanginya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Feiyna ditemui pada majlis gala pratonton filem Geran yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Menurut Feiyna, antara cabaran yang perlu dihadapinya sepanjang menjalani penggambaran Geran ialah apabila perlu berlakon sambil mempersembahkan aksi tempur silat.

“Tuhan sahaja yang tahu macam mana rasa dia bila perlu berlakon sambil beraksi silat. Ia memang sangat susah sampai ada satu momen kaki saya tersangkut sebab terseliuh tapi saya gagahkan jua untuk memberikan hasil yang terbaik.

“Saya berbangga dengan hasil kerja pengarah muda seperti Areel yang ingin memartabatkan seni silat Melayu di mata penonton kita. Harapnya filem ini akan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pencinta filem tempatan,” katanya lagi.

Geran yang menelan kos penerbitan sebanyak RM700,000 ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam. Filem ini turut dibintangi Namron, Fad Anuar, Khoharullah, Azlan Komeng, Taiyuddin Bakar, Aeril Zafrel, Adam Shahz dan Niezam Zaidi.

Filem Geran mengisahkan tentang dua orang sahabat baik, Pak Nayan dan Haji Daud yang juga rakan seguru dalam ilmu persilatan. Namun disebabkan ada sejarah di antara mereka berdua, mereka saling berdendam dan persengketaan terus berlarutan.

Hal ini melibatkan anak-anak Pak Nayan ke dalam situasi yang rumit. Apakah yang dilakukan oleh Haji Daud kepada keluarga Pak Nayan? Sama-sama saksikan Geran di pawagam berdekatan anda. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button