Cerita ArtisHiburan

Berlakon Filem Seram, Nadzmi Kongsi Pengalaman Diganggu Makhluk Halus

Sebelum ini sudah banyak pelakon berkongsikan pengalaman mistik mereka ketika menjayakan penggambaran filem seram dan hal ini tidak terkecuali buat pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan, Nadzmi Adhwa.

Menurut Nadzmi, sepanjang 18 hari menjalani penggambaran filem itu di lokasi sebuah rumah banglo lama di Kuang, Selangor, dia berasakan seperti diganggu makhluk halus ketika menjayakan filem arahan Helmi Yusof itu.

“Anak Perjanjian Syaitan merupakan filem pertama lakonan saya dan saya dah berikan yang terbaik untuk watak Zaidi. Sepanjang 18 hari shooting, banyak pengalaman baharu saya dapat daripada pelakon-pelakon lain terutama pelakon senior yang banyak membantu saya.

“Kalau shooting filem hantu ini memang banyak babak penggambaran pada waktu malam dan kami ada banyak masa sebelum mula shoot, jadi senang nak cipta keserasian daripada situ.

“Bercerita mengenai pengalaman mistik yang pernah dilalui saya, ada bukan tiada. Saya pernah kena kacau lebih kurang tiga kali ketika berlakon dalam rumah itu.

“Saya dengar gangguan suara serta ada benda yang tumpang di tempat duduk belakang kereta ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis penggambaran pada waktu tengah malam.

“Tapi Alhamdulillah, benda itu tak kacau atau apa tapi memang kita dapat rasa yang ‘dia’ ada pada ketika itu. Gangguan kecil sebegitu memang perkara biasa ketika kita buat filem hantu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Nadzmi ditemui pada majlis pratonton filem Anak Perjanjian Syaitan yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara semalam.

Filem bergenre seram terbitan Screen Studio Sdn. Bhd itu turut dibintangi Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng, Shahrolnizam, Badrul Muhayat dan Attika. Ia bakal ditayangkan di 96 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei bermula 24 Oktober ini. – KopiPlanet.com

Sinopsis Anak Perjanjian Syaitan:

Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button