
Bersara Dunia Rapper, Altimet Giat Melabur Dalam Saham Akhirat
Selepas mengumumkan pengundurannya daripada bidang nyanyian, rapper Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, 40, kini semakin mengorak langkah dalam menceburi bidang baharu.
Menurut Altimet, dia kini melabur dalam satu aplikasi mengaji Al-Quran yang dikenali sebagai Recite kerana melihat potensi aplikasi itu untuk berjaya di peringkat global.
“Selepas umum bersara dalam dunia nyanyian bulan lalu, saya kini cuba menceburi bidang lain dan salah satunya saya membuat pelaburan dalam satu aplikasi pengajian Al-Quran yang dikenali sebagai Recite.
“Sebenarnya, tujuan saya berbuat demikian sebab dah lama saya rasa macam nak belajar mengaji balik dan kebetulan saya kenal dengan pengasas aplikasi ini dan dari situ dia ajak saya untuk sama-sama melabur,” ujarnya.
Altimet ditemui KopiPlanet.com semasa majlis sidang media The Last Altimet Show yang berlangsung di Damansara, semalam.
Menurut penyanyi itu lagi, aplikasi yang diusahakannya itu kini ternyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengguna.
“Alhamdulilah… sejak ia mula dilancarkan awal tahun ini, ia semakin mendapat sambutan hangat. Malah, ia sudah semakin diperluaskan di negara jiran, Indonesia.
“Selepas ini kami bercita-cita nak bawa aplikasi ini ke peringkat global termasuk ke United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ia merupakan aplikasi di mana akan ada ustaz dan ustazah yang akan memperbetulkan bacaan Al-Quran kita. Interaksi secara maya ini membolehkan kita belajar Al-Quran bila-bila masa sahaja,” katanya.
Bercakap lebih lanjut mengenai aplikasi Recite, Altimet berkata dia cuba secara perlahan-lahan untuk berhijrah ke arah lebih baik seiring dengan kematangannya dalam kehidupan.
“Kalau kita tengok susah nak tahu kalau artis lelaki itu bila dia nak berhijrah. Ia berlainan dengan artis wanita, kalau mereka dah bertudung, kita tahu mereka dah berhijrah.
“Saya sekarang cuba perlahan-lahan berhijrah mengikut kematangan dan harapnya aplikasi yang cuba dibawakan ini dapat memberi manfaat buat semua,” katanya lagi.
Sementara itu, The Last Altimet Show merupakan persembahan pentas terakhir penyanyi itu sebelum dia mengantung mikrofon secara sepenuhnya bermula Februari nanti.
Bakal mendendangkan lebih 20 buah lagu, persembahan itu turut akan dimeriahkan dengan kemunculan rakan artis lain seperti Hazama, Aizat Amdan, Awi Rafael, Adeep Nahar dan DJ Fuzz.
The Last Altimet Show bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusar Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 16 Februari ini.
Tiket berharga RM59 (early bird), RM79 (presale) dan RM109 (At Door) boleh didapati menerusi www.altimet.com.my/concert bermula Jumaat ini (21 Disember). – KopiPlanet.com.



