
Penerbit filem box-office Hantu Kak Limah (HKL), Astro Shaw dan Infinitus Entertainment Group menjelaskan pembayaran bonus kepada pelakon dan kru produksi tidak terkandung dalam syarat kontrak filem tersebut.
Namun, bonus tetap diberikan sebagai tanda penghargaan kepada para pelakon dan krew produksi mengikut budi bicara pihak penerbit.
“HKL adalah salah sebuah filem yang telah melangkau jangkaan sekali gus berjaya mencipta fenomena tersendiri. Bagaimanapun, pihak penerbit perlu berdepan dengan pelbagai risiko sebelum sesebuah filem mendapat kutipan yang tinggi. Pembahagian keuntungan harus ditolak dengan 25 peratus melalui cukai hiburan.
“Kemudian daripada jumlah baki tersebut, ia harus dibahagikan dengan pihak pempamer sebanyak 40:60. Jumlah 40% itu pula, penerbit akan menolak segala kos produksi, pemasaran dan pengedaran sebelum jumlah keuntungan dicapai,” ujar kenyataan media yang dikeluarkan pihak penerbit.
Isu pembayaran bonus menjadi panas selepas pelakon utama HKL, Datuk Awie dan Delimawati tampil menyuarakan rasa tidak puas hati dengan bayaran bonus yang diterima mereka.
Ia dianggap tidak setimpal dengan kutipan HKL yang berjaya mencatat RM38 juta sejak ia ditayangkan pada 9 Ogos lalu.
HKL yang diarahkan Mamat Khalid turut dilakonkan Zul Ariffin, Ropie, Uqasha Senrose, Mus May dan Allahyarhan Rab Khalid. – KopiPlanet.com



