
“Buat Persembahan Ibarat Saya Akan Mati Esok Hari” – Joey BPR
Vokalis kumpulan rock lagenda, Bumiputra Rockers (BPR), Joey atau nama sebenarnya, Johari Mat Rozekhi berkata setiap kali mengadakan persembahan pentas, dia dan setiap ahli kumpulannya akan bermain bersungguh-sungguh ibarat mereka akan mati pada esok hari.
Menurut Joey, prinsip yang dipegang mereka sejak sekian lama itu bagi memastikan setiap penonton konsert yang hadir terhibur dan puas dengan persembahan yang dijayakan oleh BPR.
“Setiap kali beraksi di pentas, saya dan ahli kumpulan ada prinsip yang mana kami akan lakukan sehabis baik seolah-olah kami akan mati esok hari. Maksudnya, kami akan bermain sehabis baik bagi memuaskan hati setiap penonton yang mengeluarkan duit untuk menonton konsert kami.
“Walaupun usia penubuhan BPR sudah pun mencecah 35 tahun, namun jiwa dan semangat kami tetap sama membara seperti dulu. Kami mahu memberikan yang terbaik buat semua,” katanya kepada KopiPlanet.com
Joey ditemui pada majlis sidang media Konsert Silaturahim BPR yang berlangsung di 11LA@ G-Tower, Kuala Lumpur semalam.
Konsert tersebut bakal diadakan pada 10 Mac ini di 11LA@ G-Tower bermula jam 9 malam. Tiket berharga RM100 boleh didapati menerusi talian 019-3817270 (Mike) dan 019-2644663 (Ari).
Kumpulan yang cukup popular dengan lagu Dari Sinar Mata ini turut dianggotai Awang (Norzaini Mohammad), Enal (Raja Zainal Abidin Raja Hasnan) dan Yem Bai (Abdul Rahim Mohd Zain).
Menginjak usia hampir 40 dekad dalam industri muzik, BPR akhirnya berjaya menubuhkan kelab peminat (fanclub) bagi mendekatkan lagi diri mereka dengan peminat selain bagi mengisi danan menjayakan konsert bergerak selepas ini.
“Menerusi kelab peminat ini, pelbagai aktiviti telah kami rancang antaranya penjualan barangan premium seperti baju T, mug dan pelbagai cenderahati lain untuk menambahkan pendapatan.
“Kami berbuat demikian kerana akui cukup sukar untuk mendapatkan penajaan untuk mengadakan sebarang konsert, jadi dengan hasil jualan cenderahati ini, diharapkan kami dapat mengumpul dana agar dapat kembali aktif dalam bidang seni yang sudah menjadi darah daging kami sejak dari dulu lagi,” katanya.
Sempena konsert itu juga, BPR turut menampilkan seorang pemain bass wanita, Helda bagi menambahkan lagi variasi dalam persembahan. – KopiPlanet.com