• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Bukan Sahaja Penyanyi, Mark Adam Pernah Ajar Bilal Alun Azan

Memasuki tahun ketiga penubuhan Suara Academy miliknya, penyanyi Mark Adam berkongsikan selain rakan selebriti yang turut bergelar pelajarnya, ada juga golongan agamawan yang mengikuti pengajian di situ.

Menurut Mark, seorang pemuda yang bergelar bilal pernah datang ke Suara Academy dan mendaftar untuk mempelajari teknik alunan suara yang betul bagi memantapkan suaranya ketika melaungkan azan.

“Pelajar itu dipanggil ke Istana Negara untuk menjadi bilal dan mengalunkan azan setiap kali waktu solat. Laungan azan juga memerlukan teknik-teknik yang sama seperti nyanyian.

“Sepanjang dia menjadi pelajar kami, dia turut bertukar-tukar ilmu dengan saya dan semua tenaga pengajar Suara Academy tentang bidang agama dan mengajak mana-mana pelajar yang mahu mendalami ilmu tersebut untuk turut serta.

“Itu antara serba sedikit pengalaman menarik yang boleh saya kongsikan sepanjang tiga tahun penubuhan akademi ini,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui dalam majlis santai bersama media bersempena tiga tahun penubuhan Suara Academy di Neo Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mempunyai seramai empat tenaga pengajar termasuk dirinya, Mark berkata antara rakan artis yang mendapat bimbingan di akademi kendaliannya ialah Fattah Amin, Aiman Tino, Janna Nick, Nazim Othman dan ramai lagi.

Yang menariknya dengan harga berpatutan, selain belajar vokal, pelajar juga boleh mempelajari teknik bermain gitar, dram, ukelele dan kelas violin yang mungkin akan diadakan bermula tahun ini.

“Suara Academy bukan sahaja kelas vokal semata-mata, sebaliknya kami turut menawarkan pakej berpatutan buat sesiapa yang berminat nak belajar skill bermain gitar, ukelele dan gitar dan kemungkinan besar kami akan bawakan juga kelas violin dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah setelah tiga tahun penubuhan, kami semakin berkembang dengan bilangan anak murid melebihi 200 orang serta ribuan pelajar separuh masa,” kata Mark yang turut dibantu isterinya, Norazah Redzuan yang bertindak selaku pengurus Suara Academy.

Selain bergelar usahawan dan penyanyi, Mark turut dikenali sebagai pelakon dan pelawak. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend