
Cepat Jemu, Fariz Jabba Impi Keluar Lagu 6 Bulan Sekali
Penyanyi rap kelahiran Singapura, Fariz Jabba berkata dia berazam untuk menerbitkan sekurangnya satu single dalam masa enam bulan sekali.
Menurut Fariz, dia mengambil pendekatan itu kerana cepat merasa jemu dan ingin terus menghasilkan karya-karya bermutu untuk peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.
“Dengan kejayaan sekarang, setiap hari saya berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT, tidak pernah lupakan keluarga terutama ibu dan rakan-rakan yang menyokong saya sejak dulu.
“Tanpa ibu, tiadalah saya. Keyakinan untuk buat lagu serta menjadi artis adalah dorongan daripada beliau.
“Sekarang saya bercadang untuk keluarkan lagu baharu enam bulan sekali kerana saya seorang yang cepat jemu.
“Saya perlu hasilkan lagu-lagu baharu dengan pelbagai genre agar tidak hanya ‘terperangkap’ dengan hip hop dan R&B sahaja. Saya akan meluaskan muzik saya dalam irama balada, tekno dalam bahasa Cina dan Tamil selain Bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.
Fariz yang kini bernaung di bawah label Def Jam South East Asia sudah mengeluarkan dua buah single iaitu Masa dan Ape Sia.
Menceritakan lebih lanjut, Fariz berkata lirik lagu Ape Sia adalah mengisahkan tentang dirinya yang ditimpa kesusahan, tidak berduit dan terpaksa alas perut dengan mi segera sebelum mengecapi kejayaan seperti hari ini.
“Waktu itu hidup saya sangat susah tetapi saya tidak menjadikan cabaran hidup itu dengan menghasilkan lagu dan lirik sedih, hiba, mendayu, meruntun perasaan dan minta simpati orang.
“Hidup ini bukan untuk bersedih. Saya takkan bersedih dan merintih sebaliknya saya berusaha untuk gembira, selalu bersama keluarga dan rakan-rakan kerana merekalah sumber kekuatan saya,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com