Chacha Maembong ‘Dirasuk’ Ketika Penggambaran Anak Perjanjian Syaitan
Pelakon Chacha Maembong yang kini tampil dengan filem seram pertama lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan mengakui ada berhadapan dengan perkara mistik ketika dalam tempoh menyelesaikan penggambaran tersebut.
Menurut Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Ismail, 23, ada ketika dia merasakan dirinya seperti ‘dirasuk’ apabila dia secara tidak semena-mena akan menjerit kepada pembantu peribadi yang setia menemaninya.
“Saya ingat lagi ada satu kejadian di mana saya tiba-tiba jadi marah dan saya ‘sound’ pembantu peribadi suruh dia diam dan bila saya balik rumah, saya boleh nampak ada bayang-bayang lalu-lalang di rumah.
“Bila dah rasa macam ada yang tidak kena, saya terus telefon ustaz dan dia kata ada benda yang mengikut saya balik ke rumah. Selepas ustaz baca surah, Alhamdulillah keadaan saya jadi normal balik.
“Ustaz pesan kepada saya agar sentiasa kuatkan semangat dan berdoa supaya Allah lindungi saya sepanjang penggambaran berlangsung.
“Lepas insiden itu, setiap kali saya rasa kalau ‘benda’ itu kacau, saya hanya abaikan sahaja. Saya akan pasang selawat untuk tenangkan hati,” kata Chacha kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton filem Anak Perjanjian Syaitan yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Filem seram arahan Helmi Yusof itu turut dibintangi Nadzmi Adhwa, Jasmin Hamid, Azlan Komeng, Shahrolnizam Noor dan Badrul Muhayat. Ia bakal ditayangkan di 96 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei bermula 24 Oktober ini.
Menerusi naskhah itu, Chacha membawakan watak wanita mengandung yang memberikan cabaran kepada dirinya sendiri.
“Saya suka dengan watak sebagai Azlinda sebab ia berikan cabaran sebab saya tidak pernah ada pengalaman hamil lagi dan ia pastinya sesuatu yang menarik untuk saya jayakan.
“Saya letakkan diri saya sebagai Azlinda dalam filem in dan saya juga banyak berkongsi dengan Emma cara-cara teknik lakonan yang betul dan berkesan agar penyampaian saya untuk watak itu dapat memberikan impak.
“Harapnya filem ini dapat membuka mata orang di luar sana terhadap kemampuan lakonan saya,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com
Sinopsis Anak Perjanjian Syaitan:
Anak Perjanjian Syaitan mengisahkan tentang Cikgu Zaidy (Nadzmi Adhwa) dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.
Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampong di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy. Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.
Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila di bawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.
Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’. Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019. – KopiPlanet.com