
Chris Evans Digosipkan Bercinta Dengan Heroin Filem Yesterday
Setelah hampir dua tahun hidup solo, pelakon Chris Evans, kini dilaporkan sedang berpacaran dengan heroin filem Yesterday, Lily James, 31.
Gosip itu tersebar selepas kedua-duanya menaiki teksi bersama menuju ke sebuah hotel di London selepas menghadiri parti di Mark’s Club baru-baru ini.
Mereka terus mempamerkan kemesraan bersantai di taman sambil foto mereka dibidik paparazi. Sehingga kini, kedua-dua wakil pelakon itu masih belum memberi pengesahan mengenai perkara tersebut.
Pelakon filem Captain America itu sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan aktres Jenny Slate namun dilaporkan berpisah pada Mac 2018 selepas dua tahun bercinta.
Menerusi wawancara dengan sebuah majalah gaya hidup Men’s Journal pada Mei tahun lalu, Chris, 39, berkata dia sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan serta memegang status sebagai seorang suami dan bapa. – KopiPlanet.com