
Clara Beli Rumah Harga RM124 Juta Di Seoul
Model terkenal Korea Selatan, Lee Sung-min atau nama glamornya, Clara, 34, telah mengejutkan semua orang dengan gambar pra-perkahwinannya yang kelihatan wow dan sangat cantik. Terbaharu, peminatnya pula dikejutkan dengan pembelian kondominium mewah berharga RM124 juta (US$30 juta ) yang baharu dibeli oleh model tersebut.
Clara baru-baru ini telah mendedahkan bakal berkahwin dengan seseorang yang ditemuinya ketika bercuti di luar negara. Dia memaklumkan bakal suaminya merupakan seorang ahli perniagaan yang berusia dua tahun lebih tua daripadanya.
Perkahwinan pelakon serta model cantik ini bakal dilangsungkan di Amerika Syarikat pada 6 Januari ini dan pasangan tersebut kemudiannya akan berpindah ke Seoul, Korea bagi memulakan kehidupan berkeluarga.
Kawasan Signiel Seoul merupakan sebuah hotel dan kediaman yang terletak di bangunan tertinggi di Korea Selatan serta merupakan salah satu daripada lima bangunaan tertinggi di dunia yang dikenali sebagai Lotte World Tower.
Harga bagi kediaman berkenaan bermula dari harga RM15 juta (US$3.7 juta) hingga RM124 juta (US$30 juta). Ia menawarkan gaya hidup mewah dengan pemandangan yang menakjubkan di sekitar Seoul. – KopiPlanet.com



