
Datuk Siti Nurhaliza Sah Hamil 4 Bulan
Setelah agak lama berteka-teki dan tidak muncul di khalayak ramai, akhirnya penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza mengumumkan kehamilannya.
Berita mengenai kehamilannya yang sudah mencecah usia empat bulan itu diumumkan menerusi satu sesi sidang media yang berlangsung di kediamannya malam tadi.
“Saya dan suami mencapai kata sepakat untuk umumkan saya hamil empat bulan. Selepas 11 tahun bersabar, itu yang membuat saya memilih untuk berehat.
“Alhamdulillah, kali ini adalah rezeki saya dan suami,” ujar isteri kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K.
Menurut Siti, sebelum ini beliau terpaksa menolak banyak undangan persembahan, namun tidak dapat memberikan penjelasan yang sebenar.
“Ini yang saya nantikan selama 11 tahun, jadi saya terpaksa menolak beberapa persembahan konsert dan berharap pihak penganjur dapat memahami keadaan saya,” jelasnya.
Datuk Siti dan Datuk K sudah bergelar pasangan suami isteri selama 11 tahun setelah mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006. – KopiPlanet.com