
Diperkenalkan Izara, Farah Nabilah Kahwin Juruterbang 20 Disember Ini
Pelakon Farah Nabilah mengumumkan akan menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini.
Memilih juruterbang, Mohamed Amirul Yunus, 28, sebagai pasangan hidup, Farah akan mengadakan majlis pernikahan pada 20 Disember ini.
Menurut Farah, 27, dia akan mengadakan majlis resepsi di sebelah pihaknya pada 21 Disember manakala pihak lelaki pada 28 Disember.
Satu lagi majlis resepsi akan diadakan pada 5 Januari 2020 bagi meraikan rakan-rakan artis serta pihak media.
“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana merahsiakan perhubungan kami daripada pihak umum. Ini kerana ibu bapa saya tidak mahu saya terlalu menghebahkan kerana perkara yang masih belum pasti.
“Bila dah masuk fasa lebih serius seperti ini baharulah saya maklumkan kepada umum.
“Kami diperkenalkan oleh kawan baik saya, Izara Aishah sejak tujuh tahun lalu. Pada mulanya saya jual mahal tetapi dia tidak berputus asa dan akhirnya dapat menambatkan hati saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman majlis perkahwinannya yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, Amirul berkata senyuman manis Farah menambat hatinya untuk berkenalan dengan lebih rapat denga aktres tersebut.
“Saya tertarik dengan senyuman Farah dan selepas berkahwin saya tidak halang dia untuk teruskan kerjaya seni,” katanya.
Majlis hari bahagia pasangan itu akan diadakan di sekitar Lembah Klang dan setakat ini sebanyak 80 peratus persiapan sudah diselesaikan oleh kedua belah pihak. – KopiPlanet.com