
Elizabeth Tan Akui Police Entry Tuju Buat Bekas Kekasih
Penyanyi Elizabeth Tan mengakui single terbaharunya berjudul Police Entry ditujukan kepada bekas teman lelakinya yang merupakan seorang bekas kaki penipu.
Elizabeth berkata, dia mendedikasikan lagu hasil ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu buat bekas teman lelakinya dan berharap jejaka tersebut mendengarnya.
“Lirik lagu ini berkisarkan tentang polis menangkap penipu dan secara kebetulan saya pernah jadi mangsa tipu bekas teman lelaki.
“Saya tak kisah tanggapannya terhadap kenyataan saya ini. Lagipun saya sudah bahagia dengan kehidupan sekarang,” jelasnya.
Elizabeth berkata demikian ketika ditemui Kopiplanet.com semasa majlis pelancaran single berkenaan.
Sebelum ini, penyanyi tersebut pernah menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Melayu, tetapi telah berakhir sehingga dia mengalami kemurungan.
Bercerita lebih lanjut mengenai single berkenaan, Elizabeth memberitahu ia cukup istemewa kerana diberi peluang menjadi pengarah untuk pembikinan muzik video lagunya itu.
“Saya gembira dengan peluang yang diberikan, malah banyak benda yang saya belajar. Mungkin lepas ini saya akan dapat buat yang lebih baik lagi,” ujarnya.
Mengenai perkembangan terbaharu kariernya, Elizabeth menyatakan dia akan fokus untuk mempromosikan single terbaharunya itu memandangkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan buat masa ini. – KopiPlanet.com