
Elyana Derita Kanser Tahap 4, Fobia Tidur Malam
Seluruh peminat industri hiburan tempatan dikejutkan dengan pendedahan Elyana mengenai dirinya yang kini menderita penyakit kanser tahap empat sebaik namanya diumumkan tersingkir dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).
Ketika diminta memberikan ucapan selepas tersingkir oleh hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse, Elyana mengejutkan peminatnya dengan berita menyedihkan itu.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, menyatakan sudah tujuh tahun menghidap kanser limfoma sejurus melahirkan anak sulungnya, Cinta Sumayyah.
Memetik laporan BH Online, Elyana berkata, “Saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada peminat, oleh itu secara spontan saya membuat pengumuman mengenai kanser yang saya hidapi.
“Sudah tujuh tahun saya berjuang dengan kanser limfoma dan sekarang hanya mampu berdoa kepada Allah selepas puas berikhtiar,” katanya.
Elyana juga mengatakan fobia mahu melelapkan mata pada waktu malam kerana bimbang jika lenanya itu merupakan malam terakhir buat dirinya.
“Saya fobia hendak tidur malam kerana takut tidak dapat melihat dan berjumpa dengan anak saya lagi. Itu saja ketakutan saya hampir setiap hari,” katanya lagi.
Malah Elyana turut mendedahkan doktor pernah berkata dia hanya mempunyai setahun sahaja lagi untuk hidup sebaik disahkan menghidap penyakit itu namun dia bersyukur umurnya masih panjang sehingga ke hari ini.
Melihatkan dirinya yang sentiasa lincah dan bertenaga sepanjang lima minggu beraksi di pentas GV4, pendedahan Elyana ini memang benar-benar mengejutkan peminatnya.
Rata-rata peminatnya berkongsi kesedihan di atas khabar itu selain mendoakan Elyana agar dia diberi ketabahan dan kekuatan bagi melawan penyakitnya itu. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Elyana



