• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Erra Fazira Impi Tunai Haji Setiap Tahun Jika Diberikan Rezeki

Pelakon Erra Fazira berkongsi perasaannya yang teringin mengerjakan haji pada setiap tahun sekiranya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

Menurut Erra lagi, perjalanan ibadah hajinya merupakan satu momen yang paling indah dalam kehidupannya selama ini.

“Alhamdulillah, perjalanan ibadah terindah bagi saya. Ianya lebih indah daripada yang saya jangkakan sebelum ini. Saya pasti akan merindui setiap kenangan sepanjang mengerjakan ibadah haji di sana.

“Terasa masa seperti cepat berlalu ketika di sana. Keajaiban adalah saya rasa ketenangan yang terindah yang belum pernah dirasakan sebelum ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Erra ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Wangi yang diadakan di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 46, turut menambah, “Jika diberikan kesempatan dan dimurahkan rezeki, saya pasti ingin kembali lagi ke kota suci. Kalau tanya dengan orang yang dah pernah pergi, pastinya mereka ingin kembali semula ke Mekah.”

Sementara itu, dalam perkembangan seni, Erra tampil dengan filem Wangi terbitan Resilience Studio Sdn. Bhd yang memaparkan genre psiko thriller. Diarahkan Latif Zami, Wangi akan memulakan tayangan di 79 pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura pada 5 September ini.

Selain Erra, Wangi turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda, Syazwan Zulkifli dan Mia Nasir. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend