Cerita ArtisHiburan

Farid Kamil Sempat Khatam Al-Quran Sepanjang Dalam Penjara

Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, 39, menyifatkan pengalaman dipenjarakan selama lebih dua bulan setengah memberikan hikmah tersendiri buat dirinya.

Menurut suami kepada Datin Diana Danielle ini, sepanjang tempoh dipenjarakan dia berpeluang untuk muhasabah diri selain mendekatkan diri dengan Allah SWT.

“Di dalam setiap keburukan pasti ada kebaikan. Ia satu pengalaman baharu yang sukar diterjemahkan dan saya terharu apabila mereka di sana menerima saya dengan begitu baik.

“Mereka (banduan lain) tahu dan kenal saya jadi mereka bagi sokongan serta semangat untuk saya terus bangun dan bangkit semula.

“Sepanjang dalam penjara saya buat benda yang saya tak pernah buat, contohnya bangun untuk solat tahajud dan saya berjaya khatam Al-Quran dalam masa 30 hari. Kalau dalam keadaan bebas belum tentu saya buat semua itu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Farid ditemui pada majlis pelancaran filem Remp-it 2 dan Sifu International Enduro Championship 2020 yang berlangsung di Route 77 Harley Davidson, Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Farid meluahkan rasa bersyukur dikurniakan isteri seperti Diana yang sangat memahami dan sentiasa berada di sisinya dari dahulu hingga kini.

“Saya bersyukur kerana Diana sangat supportive, sejak awal perkenalan sampailah ditimpa malapetaka itu dia msih bersama saya.

“Diana dan anak-anak menjadi kekuatan untuk saya menghadapi masa-masa mendatang, betapa beruntungnya saya memiliki isteri bernama Diana Danielle,” katanya.

Pada pertengahan November lalu, Farid terpaksa meringkuk dalam penjara selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya pada Mei lalu telah ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu dijatuhkan hukuman penjara selepas disabitkan dengan kesalahan dadah dan diarahkan menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Kemudiannya, pada 13 Disember lalu Farid dibenarkan menangguhkan pelaksanaaan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya sehingga rayuannya selesai.

Dalam perkembangan lain, filem Remp-it 2 yang diarahkan Farid dijangka ditayangkan pada Ogos ini selepas selesai menjalani penggambaran hujung tahun lalu.

Filem tersebut turut menampilkan lakonan hebat Cat Farish, Niezam Zaidi serta pendatang baharu, Ahirene Ahiruddin. Anak sulung Farid, Muhammad, 7, turut berlakon dalam filem terbitan FKX Film Sdn. Bhd. itu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button