Cerita ArtisHiburan

Farid Kamil Tak Pernah Timbulkan Masalah – David Teo

Pemilik syarikat produksi Metrowealth (MIG), Mejar (K) David Teo yang pernah bergelar majikan kepada pelakon Datuk Farid Kamil menyatakan perasaan terkejutnya saat membaca berita mengenai penahanan aktor itu semalam.

Menurut David sepanjang 15 tahun mengenali Farid, baginya secara peribadi aktor itu tidak pernah menimbulkan masalah sepanjang bekerjasama dengannya sejak dari tahun 2003.

“Saya terperanjat bila baca berita dia ditangkap. Sepanjang saya mengenali Farid, dia seorang yang tak pernah timbulkan masalah dan pandai jaga displin.

“Malah, baru-baru ini pun kami ada berjumpa, berbincang mengenai idea-idea baharu yang boleh direalisasikan untuk projek akan datang.

“Masa kami berjumpa itu, tak nampak tanda-tanda pelik pun pada Farid. Tiada pula dia bercerita apa-apa pada saya ketika itu,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com sebentar tadi.

Menurut David lagi, selepas ini dia berhasrat untuk menziarah Farid selepas aktor itu dibebaskan daripada tempoh tahanan reman Isnin ini.

David ingin bertemu Farid yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri bagi mendengar kisah di sebalik insiden itu daripada pelakon berusia 37 tahun itu sendiri.

“Selepas Farid dibebaskan, saya ingin berjumpa Farid bagi mendengar sendiri daripada mulut dia apa yang sebenarnya berlaku,” ujarnya lagi.

Farid bernaung di bawah MIG dari 2003 sebelum mengambil keputusan menguruskan sendiri kerjayanya pada tahun 2016.

Pelakon yang baharu dikurniakan gelaran Datuk pada Disember lalu itu ditahan pihak polis selepas didakwa menampar seorang anggota polis dan menendang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, petang semalam.  Hasil saringan ujian air kencing mendapati bapa kepada dua cahaya mata itu positif dadah jenis ganja.

Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan Farid ditahan reman selama empat hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.  Perintah itu dikeluarkan di Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi tadi. – KopiPlanet.com

Kredit foto:  Instagram David Teo

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button