• FOLLOW US
Filem, Terkini

Filem M4M4 Papar Kisah Tragis Dendam Ibu Terhadap Kematian Anaknya

Bakal menerjah pawagam bermula 6 Februari ini, filem M4M4 (MAMA) terbitan Da Motion Media bakal membuka mata penonton dengan plot cerita mengenai ketabahan seorang wanita dalam membalas dendam untuk menuntut keadilan terhadap kematian tragis anak perempuannya.

Diarahkan oleh pengarah wanita, Eyra Rahman, filem ini bintangi oleh Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Nizam Zaidi, Ungku Hariz, Eyra Razali dan Izzy Reef.

Eyra berkata, antara sebab utama dia tertarik untuk menghasilkan filem ini kerana menceritakan naskhah tentang kasih sayang seorang ibu terhadap anak tunggalnya yang mati dibunuh.

“Asalnya saya telah dipanggil oleh penerbit sendiri iaitu Abang Aseh (Allahyarham Datuk Mokhairul Shamsul Mokhtar) untuk menghasilkan sebuah filem yang juga idea asal beliau.

“Menurut arwah, saya dipilih kerana beliau merasakan naskhah ini sesuai untuk saya arahkan memandangkan saya seorang pengarah wanita,” ujarnya yang sudah mengarah sebanyak 14 buah filem setakat ini.

Penggambaran filem M4M4 (MAMA) yang bergenre horror thriller ini mengambil masa selama 25 hari di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, pelakon utamanya, Nabila Huda berkata antara sebab utama dia mahu terlibat dalam filem ini kerana temanya yang menggambarkan hubungan kuat yang terjalin di antara seorang ibu dan anaknya.

“Kehilangan itu adalah sangat menyakitkan, apatah lagi apabila anak yang disayangi telah dirogol dan kemudian mati dibunuh.

“Namun, filem ini sebenarnya banyak memberikan pengajaran supaya kita ambil langkah dan cara yang betul untuk berhadapan dengan situasi sebegini serta mengambil langkah berjaga-juga agar ia dapat dielakkan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, apa yang dipaparkan dalam filem ini juga sebenarnya adalah kes-kes yang kerap berlaku di seluruh dunia. Bagaimanpun, Nabila melihat kebanyakan kes berkenaan dilihat tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

“Misalnya, pesalah hanya akan dihukum penjara dan sebatan sahaja, sedangkan hukuman lebih berat harus dijatuhkan.

“Sedangkan perlu difikirkan juga situasi terhadap mangsa yang melalui keadaan tersebut untuk membesar sebagai gadis yang normal,” ujarnya.

Nabila juga menyatakan dia mahu penonton menerima filem ini dari sudut yang positif terutama sekali mesej-mesej yang ingin disampaikan. – KopiPlanet.com

SINOPSIS M4M4:

Kisah bermula pada hari lahir ke-15 Alya (Bella Dowanna) yang disambut setiap tahun bersama mamanya, Aini (Nabila Huda). Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya.

Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Daniel (Izzy Reef) dan Elly (Eyra Hazali). Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, Alya, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai (Kodi Rasheed), Luk (Ungku Hariz) dan Remy (Niezam Zaidi) yang terkenal dengan gaya dan lagak samseng mereka di kawasan tersebut.

Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut, termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai.

Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma.

Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan ApaiI, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend