• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Gambar Mesra Sudah Cukup Jelaskan Hubungan Zul Dengan Wanita Ukraine

Pelakon Zul Ariffin akhirnya tampil bersuara mengenai desas-desus yang mendakwa dia kini sedang bercinta dengan gadis yang berasal dari Ukraine dikenali sebagai Tanya Glembotska.

Tidak mengia atau menafikan, Zul berkata segala gambar dan video mesranya bersama wanita itu sudah cukup jelas menggambarkan status sebenar hubungan mereka.

“Saya tak nak mengia atau menafikan sebab semua orang boleh buat andaian masing-masing. Ia dah cukup jelas dengan semua gambar dan video (yang tersebar di media sosial).

“Kalau nak nyatakan adakah saya bercinta dengan dia, saya rasa orang kat luar pun boleh fikirlah, tak perlu rasanya saya buat kenyataan rasmi mengenai perkara itu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Antara gambar mesra Zul dengan Tanya yang dikongsikan oleh wanita tersebut di laman sosialnya.

Zul ditemui pada malam pratonton filem Misteri Dilaila yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara semalam.

Nama Zul sebelum ini menjadi perbualan hangat di forum hiburan gara-gara teman istimewanya itu memuat naik pelbagai gambar memaparkan aksi mesra di antara mereka ketika sedang bercuti di luar negara beberapa bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai kecaman yang diterimanya susulan tersebarnya foto-foto tersebut, Zul menjelaskan bahawa ia adalah perkara yang normal sekiranya mereka bercinta sekali pun.”

“Saya tak kisah kalau netizen nak ambil tahu (kisah cinta). Mereka ambil tahu, tetapi dalam masa yang sama nak menjahanam dan pergi mengutuk saya.

“Mereka buat macam itu ada dapat apa-apa keuntungan ke? Tidak kan… Walaupun dikecam saya tetap jalani hari-hari seperti biasa, masih sarapan minum kopi makan nasi goreng dalam suasana tenang. Ia (kecaman netizen) tidak jejaskan fokus saya dalam kerjaya.

“Saya boleh terima kecaman sebab dah lali. Mak cik bawang Malaysia memang dahsyat, kalau tak tahan memang boleh tercabut telinga dengar kecaman mereka.

“Saya kadang-kadang tahu dan ada kalanya tak tahu kalau dia (Tanya) ada muat naik gambar (berdua) di media sosial. Gatal sangat siapa suruh (muat naik), sekarang kau rasalah kena kecam,” jelas aktor itu sambil berseloroh.

Bercerita lebih lanjut tentang tatu nama Zul yang dicacah oleh teman istimewanya itu serta panggilan suami di kapsyen gambar wanita tersebut, Zul berkata itu adalah hak gadis berkenaan untuk melakukan apa sahaja yang diinginkannya.

“Kalau dia nak buat tatu apa pun itu bukan hal saya. Itu kebebasan setiap individu. Saya cuma pesan dekat dia yang saya pelakon di Malaysia dan benda-benda macam ini agak sukar diterima orang di sini.

“Saya cuma cakap jangan buat sesuatu yang boleh bagi kesan buruk kepada kerjaya saya. Mengenai panggilan suami itu, bagi saya ia biasa sahaja seperti pasangan lain yang panggil orang tersayang mereka dengan panggilan seperti sayang atau bie,” kata Zul.

Menginjak usia ke 33 pada tahun ini, Zul berkata dia sudah lama bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya sebenarnya dah sedia untuk ke fasa seterusnya, sejak dulu lagi tapi apa yang kita rancangkan tak semestinya menjadi.

“Apa yang boleh saya janjikan, kalau saya nak berkahwin nanti saya tidak akan buat sorok-sorok dan maklumkan pada semua. Bagi saya cukuplah majlis itu berlangsung dalam suasana serba sederhana tapi cukup meriah,” ujar Zul lagi.

Sebelum dikaitkan dengan Tanya, Zul terlebih dahulu menyulam cinta dengan pelakon Zahirah MacWilson namun hubungan mereka sudah pun terlerai pada Mac tahun lalu. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend