
“Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras Bukan Filem Lucah” – JC Chee
Pelakon utama filem Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras, JC Chee menafikan filem tersebut merupakan filem lucah sebaliknya naskhah itu mempunyai mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.
Menerusi filem itu, JC melakonkan watak sebagai seorang lelaki yang mengalami masalah mati pucuk yang malu untuk mendapatkan rawatan bagi mengubati penyakit tersebut.
“Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras bukan filem lucah, sebaliknya filem ini nak menyampaikan mesej penting iaitu mengenai penyakit mati pucuk yang terjadi dalam 25 peratus populasi lelaki di Malaysia. Mati pucuk adalah satu penyakit yang serius.
“Macam saya sebelum dapat tawaran membintangi filem ini, memang saya pun tak tahu secara mendalam mengenai penyakit ini, tapi lepas buat sedikit homework untuk watak ini, baru saya tahu betapa seriusnya penyakit ini di kalangan lelaki Malaysia,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada tayangan perdana filem Get Hard: Tongkat Ali Kasi Keras di MBO The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai cabaran berlakon dalam filem ini, JC yang mula dikenali menerusi watak Tauke menerusi filem box-office, Ola Bola berkata dia agak kekok untuk menanggalkan pakaian namun demi profesionalisme dia tetap melakukannya seperti mengikut kehendak skrip.
Membesar di sebuah perkampungan dari Chuping, Perlis, JC, 33, mengakui dia seorang yang agak konservatif sekali gus membuatkannya berasas sedikit kurang selesa bagi melakonkan babak topless pada mulanya.
Dia bagaimanapun lega kerana babak dilakonkan tidaklah keterlaluan dan bersesuaian dengan filem itu yang dikategorikan untuk tontonan 18 tahun ke atas.
“Saya sebenarnya tak selesa juga berlakon buka baju sebab saya seorang yang agak konservatif tapi saya hanya mengikut skrip dan cuba jadi profesional dalam bekerja. Asalkan tak berbogel, saya okey sahaja.
“Ketika melakonkan babak intim dengan pelakon-pelakon wanita dalam filem ini, saya akui agak janggal juga pada mulanya tapi demi menghilangkan rasa gemuruh itu, saya ambil masa berborak dan cipta keserasian dahulu dengan mereka supaya senang melakonkan babak-babak mesra yang melibatkan kami,” katanya lagi.
Tongkat Ali: Get Hard Kasi Keras yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini turut dibintangi pelakon dan model seksi, Sarah Lian. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram JC Chee



