
Gigi Hadid Beri Bayangan Sudah Berbaik Dengan Zayn Malik
Belum pun sampai tiga bulan berpisah, model popular Gigi Hadid baru-baru ini memuat naik gambar mesra bersama bekas teman lelakinya, Zayn Malik menerusi Insta Stories di laman Instagram miliknya.
Menerusi foto itu, Gigi dilihat bersandar di pangkuan Zayn yang sedang memegang ipad. Walaupun wajah Zayn tidak kelihatan pada gambar itu namun rambut perang dan tatunya cukup dikenali oleh peminat setianya.
Gigi dan Zayn mengumumkan perpisahan mereka pada Mac lalu selepas dua tahun bercinta. Namun tak sampai sebulan putus cinta, paparazi berjaya merakamkan foto mereka sedang berkucupan di tepi jalan.
Menerusi kenyataan perpisahan sebelum ini, Zayn menulis, “Saya dana Gigi mempunyai satu hubungan yang sangat bermakna. Saya cukup menghormati Gigi sebagai seorang wanita dan rakan.”
“Saya sangat bersyukur mempunyai peminat yang sangat menghormati keputusan yang dibuat kami berdua,” tulisnya di laman Twitter.
Kedua-dua jurucakap selebriti popular itu setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menjawab persoalan adakah benar pasangan ini sudah berbaik semula sekali gus menyambung kembali episod percintaan yang pernah terputus sebelum ini. – KopiPlanet.com