
Hanez Suraya Seronok Berniaga Sambal Ikan Bilis Di Putrajaya
Lama tak mendengar perkhabaran pelakon Hanez Suraya yang kini semakin menyepikan diri dalam bidang lakonan sejak melahirkan anak sulungnya, dua tahun lalu.
Terbaharu, Hanez yang kini giat berniaga sambal ikan bilis resepi istimewa air tangan ibunya, Fadilah Abd Malik di Festival Ramadan Putrajaya di Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya yang berlangsung dari 17 Mei hingga 14 Jun ini.
Menurut Hanez, dia meniaga sambal ikan bilis yang diberi nama Sambal Bilis Omak Den kerana ia adalah makanan yang paling mudah disediakan untuk bersahur sepanjang bulan Ramadan ini.
“Saya seronok berniaga di bulan Ramadan, suka tengok ragam orang membeli-belah. Sambal ikan bilis yang saya jual ini memang sesuai untuk bulan puasa sebab ia benda paling senang nak makan dan sediakan untuk sahur,” katanya.
Selain berniaga sambal, Hanez turut menjual tudung di bawah jenama Everyday_kl by Hanez Suraya.
Menurut Hanez sambutan yang diberikan pengunjung terhadap jualannya sangat mengalakkan memandangkan jenama tudungnya sudah mempunyai pengikut sendiri di laman sosialnya.
“Alhamdulillah, sambutan sangat baik sebab kami dah ada pengikut sendiri jadi kami hanya hebahkan di media sosial dan mereka akan datang turun sendiri ke gerai jualan untuk melihat lebih dekat produk saya.
“Seronok tengok ragam orang yang suka padankan baju mereka dengan pelbagai corak dan rekaan tudung dari Everday_kl by Hanez Suraya,” ujarnya lagi.
Selain Hanez, Festival Ramadan Putrajaya turut menghimpunkan gerai jualan selebriti yang terdiri daripada Ella, Datin Alyah, Lan Solo, Haiza Hanafi, Aiman Tino dan Sarah Fazny. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Hanez Suraya