
Henti Lakukan Rawatan Kecantikan, Elizad Teringin Hamil Tahun Ini
Setelah empat tahun berkahwin, pastinya pelakon Siti Elizad Sharifuddin, 35, teringin untuk menimang cahaya mata sebagai penyeri dalam kehidupannya serta suami, Shamsul Baharin Rahman.
Menurut Elizad, pelbagai usaha telah dilakukannya dalam usaha untuk mendapatkan anak, malah dia telah menghentikan seketika rawatan kecantikan yang boleh mengganggu kelancaran proses tersebut.
“Tipulah kalau saya kata saya tidak buat rawatan kecantikan seperti menghilangkan kedut, tetapi semua itu saya dah berhenti buat sejak setahun lalu kerana boleh ganggu proses untuk mendapatkan anak. Sekarang saya ambil pil kesuburan mengikut nasihat doktor dan langkah terakhir yang akan diambil sekiranya semua proses yang dilakukan tidak berjaya ialah rawatan IVF (in-vitro fertilization).
“Kalau saya buat IVF, pasti saya akan kongsi kerana mahu wanita yang susah hamil seperti saya jangan bersedih dan sentiasa positif serta akan berkongsi informasi untuk manfaat bersama. Tahun ini saya nak sangat hamil, rasa seronok tengok kawan-kawan hamil,” katanya.
Elizad berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program Mingguan Wanita yang berlangsung di The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, dia mendengar segala saranan dan nasihat daripada orang sekeliling dalam usahanya untuk mendapatkan zuriat sendiri, malah dia turut mencuba kaedah tradisional sekiranya ia memberi manfaat kepadaya.
“Saya terbuka kepada nasihat semua pihak yang tidak putus-putus memberikan tips dan sebagainya. Saya pun cuba kaedah tradisional seperti berurut memandangkan saya susah lekat.
“Alternatif terakhir yang boleh dilakukan adalah rawatan IVF. Saya dengar cerita kalau buat IVF, kita tidak boleh bergerak lasak dan perlu berbaring sahaja, tapi kalau saya buat IVF nanti, saya redha dan berserah kepada Allah sekiranya perlu bergerak untuk bekerja,” katanya.
Elizad kini dilantik sebagai hos program TV Mingguan Wanita yang mana aktres itu akan bersiaran dari hari Isnin hingga Jumaat bersama rakan-rakan penyampai lain seperti Erra Fazira, Sherry Al-Hadad, Norman Hakim dan Radin Amir.
Mingguan Wanita musim terbaharu akan ditayangkan bermula 8 Julai ini, jam 11 pagi di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). – KopiPlanet.com



