
Individu Hantar Bunga Kepada Joy Revfa Masih Misteri
Bekas isteri Hafiz Hamidun iaitu pengusaha produk kecantikan, Jov Revfa mendedahkan dia banyak menerima jambangan bunga sejak dirinya kembali solo Oktober tahun lalu.
Menurut Joy, sehingga kini dia tidak mengetahui identiti individu yang mengirimkan bunga terhadapnya pada setiap bulan itu.
“Saya kerap kali menerima jambangan bunga daripada lelaki misteri dan saya tidak tahu siapa dia. Sampai saya cakap siapa yang bagi bunga ini jom dating dengan saya, tapi dia tidak munculkan diri juga di Instagram dan Facebook saya.
“Sebulan dalam dua kali dia bagi bunga pada saya. Saya rasa orang yang bagi ini orang yang berlainan tapi masing-masing tak berani tampil ke depan. Sebenarnya, sebelum kahwin lagi dia dah selalu hantar tapi dia berhenti bagi lepas saya dah kahwin dan selepas saya single balik ini, dia mula hantar balik,” kata Joy ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Aliff by Sha yang diadakan di Romah Makan Terlajak Laris di Kota Damansara baru-baru ini.
Joy tersenarai salah seorang daripada lima wanita dalam kempen tudung Aliff by Sha, 5 Inspired Women termasuk Nadia Annuar, Uyaina Arshad, Nabila Razali dan Datin Seri Nur Shahida.
Walaupun pernah melalui dua kali kegagalan dalam perkahwinan, namun Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin berkata, dia tidak pernah serik untuk mendirikan rumah tangga lagi.
“Saya tidak serik untuk menerima cinta baharu kerana InsyaAllah, Allah dah susun jodoh yang terbaik untuk saya. Saya pun menerima dugaan ini (penceraian) dnegan redha. Allah uji kerana Dia mahu kita jadi lebih kuat. Tapi buat masa ini, saya senang single dahulu,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki, Arryan Firdaus hasil daripada perkahwinan pertama.
Nama Joy Revfa sebelum ini menjadi perhatian apabila perkahwinannya dengan penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun pada 1 Mei 2017 didakwa tidak sah.
Konflik tersebut akhirnya selesai selepas Hafiz melafazkan talak satu terhadap wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling pada 25 Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Joy turut mendedahkan dia banyak mendapat pelbagai tawaran lakonan dan nyanyian namun buat masa ini dia masih belum bersedia untuk melangkah ke bidang seni.
“Saya ada dipelawa untuk berlakon tapi saya rasa buat masa ini saya masih belum bersedia. Malah saya pun dapat tawaran menyanyi daripada komposer Indonesia, tapi saya perlu fikir panjang dulu kerana suara saya tidak sedap. Saya tidak menolak tetapi belum bersedia lagi,” katanya lagi. – KopiPlanet.com




