• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Isu Gagal Tukar Jantina, Wanita Tuntut Nur Sajat Mohon Maaf

Seorang individu yang dikenali sebagai Yusmiliati Mohamed Yusof, 33, menuntut usahawan terkenal, Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dan pembantunya, Ashaari Maznan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam selepas sidang media diadakan hari ini.

Menerusi sidang media yang diadakan di Profima, Taman Melawati itu, Yusmiliati berkata dia dianiaya oleh dua individu tersebut selepas status permohonan pertukaran jantina usahawan berkenaan daripada lelaki kepada wanita tidak berjaya.

“Saya sebenarnya dianiaya dalam kes ini dan tidak mengenali Nur Sajat dan Ashaari, tetapi mereka datang ke rumah saya dengan bantuan seorang rakan yang saya kenali. Mereka meminta saya untuk melancarkan proses penukaran status jantina daripada lelaki kepada wanita di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPNM).

“Namun, proses itu tidak berjaya apabila dia gagal mendapatkan surat akuan doktor yang mengatakan dirinya khunsa. Mulai saat itu mereka menuduh saya menipu, sedangkan saya cuma mengikut prosedur yang betul.

“Susulan laporan polis yang dibuat mereka pada Januari lalu, saya telah ditahan reman sehingga empat hari, sekaligus telah mencalarkan imej dan maruah saya bila rakan-rakan memandang serong kepada saya disebabkan perkara ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Susulan kegagalan proses penukaran jantina itu, Yusmiliati menjelaskan telah membayar kembali sebahagian wang yang dibayar usahawan berkenaan kepadanya.

“Saya menyatakan dengan tegas bahawa saya telah dianiayai dan dituduh sebagai penipu oleh Nur Sajat, sedangkan saya telah melaksanakan permohonan tersebut seperti mana diarahkan olehnya dan telah menuruti prosedur permohonan di JPNM.

“Adalah satu keperluan di JPNM yang saya sendiri tidak boleh nafikan, malah adalah tanggungjawabnya sendiri untuk memenuhi keperluan setiap dokumentasi yang ditetapkan oleh JPNM dalam permohonan tersebut,” jelasnya dengan mendakwa Nur Sajat dipercayai ingin menukar jantina kerana mahu berkahwin.

Susulan itu, Yusmiliati menuntut Nur Sajat dan Ashaari membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosialnya dalam tempoh 48 jam.

Jika gagal berbuat demikian, peguamnya iaitu Ahmad Faiq Azizan akan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan serta menuntut jumlah pampasan ganti rugi. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend