• FOLLOW US
Drama, TV

Jaja Ishak Tak Setuju Yang Cantik Sahaja Boleh Masuk TV

Penerbit drama, Jaja Ishak atau nama sebenar, Surja Khairul Ishak, 37, tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan seseorang itu perlu mempunyai rupa paras menarik untuk bergelar pelakon drama ataupun filem.

Menurut Jaja sepanjang lebih tiga tahun berkecimpung dalam bidang penerbitan drama tempatan, dia melihat displin dan bakat seseorang pelakon itu yang lebih penting untuk diketengahkan dalam mana-mana karya terbitan syarikatnya, Kembara Sufi Production Sdn. Bhd.

“Saya cukup tidak bersetuju dengan andaian orang yang mengatakan hanya orang yang cantik dan kacak sahaja layak masuk tv dan bergelar pelakon. Saya melihat kepada displin dan bakat artis itu, bagi saya kalau dia berlakon bagus macam mana pun, tapi kalau tiada displin memang susahlah untuk dia berjaya.

“Saya cukup suka dengan displin pelakon lama seperti Jasmin Hamid contohnya, dia langsung tidak berkira untuk mempromosikan drama-drama lakonannya di media sosial. Kalau kita tengok sekarang, ramai pelakon generasi baharu dilihat sangat berkira untuk tolong promosi drama yang dilakonkan oleh mereka sendiri. Pihak penerbit dah keluarkan bayaran yang agak mahal untuk mereka, apa salahnya tolong promosi produk yang mereka lakonkan sendiri?” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemubual baru-baru ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pendapatnya berhubung pelaksanaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang mahu mewujudkan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk para pelakon dan krew penggambaran, Jaja mempunyai pendapatnya yang tersendiri berhubung isu ini.

“Sebagai seorang penerbit yang masih mentah, saya rasa kena tengok terma dan syarat dahulu sebelum sesuatu pelaksanaan itu dilakukan. Sebagai contoh, jika satu telefilem itu melibatkan sehingga 20 hingga 30 krew, saya rasa penerbit akan mendapat pulangan negatif (rugi), ini pandangan peribadi saya sahaja. Lain halnya, jika kita buat program travelogue, isu kerugian mungkin tidak akan timbul kerana ia tidak melibatkan jumlah krew yang ramai.

“Walau bagaimanapun, daripada satu sudut, saya rasa ia satu cadangan yang bernas daripada FINAS untuk pastikan jaminan masa hadapan yang cerah untuk penggiat seni namun satu sudut lagi, nasib penerbit pun perlu difikirkan sebelum sebarang tindakan diambil,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, telefilem terbaharu terbitan Kembara Sufi Production Sdn Bhd iaitu Dia Kembarku lakonan Emma Maembong, Norman Hakim, Lisdawati dan Raja Azmi bakal ditayangkan pada hujung tahun ini menerusi slot Cerekarama di TV3.

Ia mengisahkan tentang bapa yang tergamak membuang seorang daripada anak kembarnya kerana mengalami kecacatan di bahagian wajahnya. Setelah tiga tahun menceburkan diri dalam bidang penerbitan, Jaja menerusi syarikatnya telah mengeluarkan sebanyak dua buah telefilem iaitu Esok Untuk Kita dan Sesalan Terakhir.

Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. turut aktif menerbitkan program travelogue iaitu Backpackers:Balkan yang sudah pun menamatkan musim pertamanya di RTM. Untuk musim terbaharu, Backpackers akan membawa anda menggembara ke negara Mesir untuk melihat keindahan panorama di sana. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend