FilemReview

JC Chee & Debbie Cemerlang, My Surprise Girl Meruntun Jiwa

Tajuk: My Surprise Girl: Cinta Bidadari
Tarikh Tayangan: 5 April 2018
Durasi: 1 jam 37 minit
Genre: Drama / Keluarga
Pengarah: Jack Lee Kok Heng
Pelakon: JC Chee, Jeana Ho, Emily Kong, Debbie Loo
Klasifikasi: 18

Selepas cemerlang menerusi watak Tauke dalam filem blokbuster Ola Bola, JC Chee kali ini tampil cemerlang dengan filem terbaharunya, My Surprise Girl: Cinta Bidadari.

Biarpun dalam kehidupan realiti, JC belum bergelar seorang bapa, namun dia berjaya membawakan watak Hao Wen, seorang jejaka yang tiba-tiba didatangi seorang kanak-kanak perempuan yang mengaku dia adalah bapa kepada budak tersebut.

Lakonannya sebagai seorang kaki perempuan turut kelihatan bersahaja biarpun JC mengakui dia sebenarnya seorang yang agak pemalu.

Namun menerusi naskhah ini dapat melihat sisi lain JC sebagai seorang bapa, satu watak yang tidak pernah lagi dilakukan aktor berusia 33 tahun itu sepanjang melibatkan diri dalam seni lakon sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu pelakon cilik, Debbie Loo yang membawakan watak anak kepada Hao Wen bernama Xiao Feng juga cemerlang dalam karya Jack Lee ini.

Meskipun baharu sahaja berusia 11 tahun, namun lakonan Debbie cukup meruntun jiwa lebih-lebih lagi ketika menuju ke penamat cerita.

Emosi yang ditunjukkan berjaya sampai ke hati penonton malah keserasiannya dengan kucing comel bernama Miracle turut membuai hati dengan keikhlasan lakonan kanak-kanak cilik ini.

Secara keseluruhannya, filem ini mampu menerapkan nilai-nilai kekeluargaan selain mengajar erti tanggungjawab dalam menjalankan amanah sebagai seorang ibu dan bapa.

Keindahan pantai di Kenting, Taiwan turut mencantikkan lagi panorama yang melatari filem ini secara tidak langsung sinematografinya berada pada satu tahap yang baik untuk satu produksi filem tempatan menyamai produk filem-filem dari luar negara.

Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula hari ini! – KopiPlanet.com

Sinopsis:

Hao Wen adalah seorang jejaka kacak kaki perempuan yang tidak gemarkan komitmen lantas membuatkan dia suka berpelesaran dengan mana-mana wanita tanpa terikat dengan sebarang perhubungan dengan mereka.

Terdapat satu insiden di pejabat telah membuatkan Hao Wen membawa diri ke sebuah pusat peranginan dan di sanalah dia dipertemukan dengan kejutan bahawa dia mempunyai seorang anak perempuan Xiao Feng (Debbie Loo).

Xiao Feng mendedahkan dia adalah darah daging Hao Wen yang mana ibunya adalah bekas kekasih kepada lelaki tersebut.

Pada mulanya, Hao Wen tidak dapat menerima kehadiran Xiao Feng dalam hidupnya sehinggakan dia ingin menghalau budak itu daripada menganggu kehidupannya. Namun pemilik rumah penginapan, Xue Fen (Jeana Ho) yang diduduki Hao Wen berasa kasihan dengan nasib yang menimpa anak kecil itu lalu mengizinkan Xiao Feng terus tinggal di homestay-nya.

Xiao Feng muncul secara tiba-tiba dengan seekor kucing gebu yang merupakan binatang peliharaan kesayangan mendiang ibunya, Yu Fang (Emily Kong).

Sejak kehadiran kedua-dua si cilik itu, perniagaan rumah penginapan Xue Fen semakin berkembang maju apabila semakin ramai datang menetap di homestay yang diusahakannya.

Bekas rakan sekerja Hao Wen kemudian datang memujuknya supaya mengaku salah dan kembali semula ke syarikat tetapi sikap angkuh dan ego Hao Wen telah menyebabkannya enggan berbuat demikian.

Di saat Hao Wen mula dapat menyesuaikan diri dengan Xiao Feng , konflik mula berlaku apabila akhirnya datuk dan nenek Xiao Feng iaitu ibu bapa Yu Fang datang bertemu Hao Wen lalu mendedahkan rahsia mengenai Xiao Feng. Apakah rahsia tersebut? Ia hanya akan dapat diketahui selepas anda menyaksikan sendiri filem arahan Jack Lee K.H ini di pawagam berdekatan anda bermula 5 April ini.

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button