
Tajuk: Jibam The Movie
Tarikh Tayangan: 7 Disember 2017
Durasi: 1 jam 39 minit
Genre: Drama
Pengarah: Che Mie
Pelakon: Muhammad Arif Abdullah, Syafie Naswip, Farah, Fadzlan Hazim, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi, Mia Ahmad, Zaidi Omar, Kamarool Yusof
Klasifikasi: U
Naskhah Jibam ini pastinya akan menggamit kembali memori peminat novel karya kartunis terkenal Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai Ujang.
Mengangkat karya novel ke layar perak, pastinya peminat Jibam mengharapkan ia setanding dengan novel tersebut.
Ya, Jibam The Movie berjaya menterjemahkan setiap babak dengan cukup baik.
Sepanjang hampir dua jam berada dalam panggung, tak terasa langsung masa berlalu, malah penonton turut tertawa apabila ada beberapa babak yang mengundang hilai tawa menerusi garapan dialog yang lucu dan bersahaja.
Watak Jibam yang dimainkan adik Mohd Ariff Abdullah memang benar-benar memberikan rasa yang cukup untuk karakter tersebut seperti yang dituntut dalam novel.
Ada kalanya lucu, ada kalanya meruntun perasaan, memang ‘roller coaster ride’ untuk emosi penonton. Masakan tidak, ketika dipukul watak Tok Ngah Sudin lakonan Bohari Ibrahim, terasa sedikit syahdu melihatnya.
Tapi selepas itu mood penonton terus terbuai dengan scene-scene mencuit hati Jibam yang berjaya membuatkan kita tertawa.
Mengenai Syafie Naswip, lakonannya memang tidak boleh dipertikaikan lagi, ada satu babak kemarahannya yang turut boleh dirasai penonton, menandakan cemerlangnya dia membawakan karakter seorang anak dan abang yang bersifat pelindung terhadap ahli keluarganya.
Selain itu, Bohari turut berjaya mewarnakan wataknya sebagai orang tua yang ‘jahat’ suka mendera dan memukul Jibam yang dikenali orang kampung seorang kanak-kanak yang lembam.
Kazar juga memberikan lakonan cemerlang walaupun kemunculan sekejap namun meninggalkan impak menerusi dialog-dialog yang cukup bersahaja.
Secara keseluruhannya Jibam memang menghiburkan malah ia juga boleh dijadikan sebagai filem untuk seisi keluarga.
Ia juga menerapkan mesej-mesej yang sering kali terjadi di kalangan ahli keluarga serta perebutan tanah yang sememangnya tidak dapat lari daripada masyarakat Melayu.
Walaupun menyampaikannya secara santai, namun begitu ia pastinya kena tepat pada mana-mana individu yang bersifat tamak dalam kehidupan mereka sehingga takut dengan bayang-bayang sendiri seperti mana yang diterjemahkan oleh salah satu watak dalam filem arahan sutradara Che Mie ini.
Ramai-ramai serbu pawagam mulai hari ini! Jibam ditayangkan di 89 pawagam seluruh negara bermula 7 Disember ini.
Untuk feel good movie, Jibam menepati kriteria itu tanpa anda perlu bersusah payah memikirkan plot yang kompleks. Selamat menonton! – KopiPlanet.com






