
KUALA LUMPUR: Pelawak Jihan Muse dan Shuk Sahar dipilih menggemudikan Anugerah Skrin 2017 (ASK 17) bersama-sama pelakon Fahrin Ahmad.
Majlis sidang media pengumuman hos serentak dilakukan beserta senarai filem dan drama yang bertanding dalam ASK17.
ASK17 yang bertemakan ‘Mencipta Fenomena’ itu bakal bersiaran langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 3 November ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Johan Ishak, penganjuran ASK sudah masuk tahun ke-21 dan masih lagi relevan.
“Anugerah Skrin masih relevan dan memainkan peranan sebagai pemangkin industri penyiaran supaya para karyawan seni tanah air terus mencipta fenomena.
“Oleh itu, kami memperkenalkan beberapa pembaharuan pada ASK tahun ini, antaranya majlis Prelude ASK 2017,” katanya pada majlis sidang media ASK17 di Hotel J.W Marriot di sini hari ini.
Majlis Prelude bersiaran empat jam lebih awal yang mana ia menampilkan Haiza Kool FM dan Issey selaku hos. Majlis itu akan terlebih dahulu menyampaikan 13 anugerah kepada barisan pemenang.
Sebanyak 33 kategori dipertandingkan dan antara kategori yang pastinya menjadi tumpuan ialah Drama Terbaik dan Filem Terbaik.
Sebanyak 13 buah filem tercalon dalam pencalonan awal iaitu Adiwiraku, J Revolusi, Pekak, Alif Dalam 7 Dimensi, Rock Bro, Desolusi, Hospital, Soulmate Hingga Jannah, Kampung Drift dan Dorm Melati.
Bagi pencalonan Drama Terbaik pula antara karya yang tercalon, Mak Tak Bagi Balik, Kapcai Ayah, Pesan Dari Syurga, Terima Kasih Ramadan, Dalam Kasut dan Hayat.
Turut hadir pada majlis itu ialah barisan artis popular seperti Fasha Sandha, Aeril Zafrel, Fezrul Khan, Dayana Roza, Watie Sadali, Hafidz Roshdi, Saharul Ridzwan, Sherry Ibrahim dan Afifah Nasir.
ASK17 disiarkan secara langsung di TV3 dengan kerjasama rakan penaja utama Olay, penaja bersama Oppo dan juga McCafe. – KopiPlanet.com