• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Afifah Nasir Rancang Kahwin 2 Tahun Lagi

Pelakon Afifah Nasir menyatakan dia meletakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga dalam jangka masa dua tahun lagi.

Afifah, 24, selama ini tidak pernah menyembunyikan hubungannya dengan kekasih, Wan Ariff Azhar, 24, yang merupakan seorang auditor, malah dia sering terbuka berkongsi gambar-gambarnya bersama teman lelakinya itu di laman sosial miliknya.

“Kalau boleh nak kahwin sebelum umur cecah 26 tahun. Tapi ini semua perancangan Allah, kita boleh rancang tapi Allah yang tentukan.

“Teman lelaki saya tak nak bergantung pada ibu bapa dia, dia nak kumpul duit sendiri untuk majlis kami,” katanya ketika ditemui Kopiplanet.com pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2017 di Hotel J.W Marriot, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, drama lakonan Afifah, Pengantinku Jatuh Dari Langit telah tercalon dalam kategori Drama Komedi Terbaik.

Sementara itu, Afifah turut berkongsi kisahnya yang baharu sahaja membeli sebuah kondominium yang terletak di Wangsa Maju.

Kondominium itu dibelinya menggunakan wang hasil titik peluhnya sepanjang terlibat dalam bidang seni dan iklan TV sejak lima tahun lalu.

“Saya dah berjaya beli sebuah kondominium di Wangsa Maju, sebelum berlakon dah banyak buat iklan komersil. Dari situ saya mula menyimpan mengikut nasihat kakak saya, Anzalna yang juga turut mempunyai aset rumahnya sendiri.

“Dia banyak nasihatkan saya, nak membeli-belah boleh tapi jangan terlalu boros. Memang saya idolakan Anzalna sebab dia banyak nasihatkan saya benda-benda baik,” katanya yang akan turut membawa kedua ibu bapanya tinggal bersama di kediaman baharunya itu.

Nama Afifah sebelum ini terpalit kontroversi dengan pasangan suami isteri Aliff Aziz dan Bella Astillah kerana didakwa menjadi orang ketiga menganggu rumah tangga pasangan itu.

Namun menurut Afifah dia kini mahu move on daripada episod ‘pahit’ itu dan mengakui bersedia digandingkan dengan kedua-duanya sekiranya mereka terlibat dalam mana-mana penggambaran drama atau filem selepas ini.

“Dua-dua dalam industri kan.. kita nak lari pun sampai bila. Saya tak kisah berlakon bersama Aliff atau Bella selepas ini, saya akan bersikap profesional sekiranya digandingkan bersama mereka di masa akan datang,” katanya lagi. – KopiPlanet.com

Kredit Foto:  Instagram Afifah Nasir 

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend