Cerita ArtisHiburan

“Saya Akan Sokong Apa Sahaja Yang Dibuat Neelofa” – Hans

Biarpun sudah banyak kali menjelaskan kepada umum bahawa hubungan di antara mereka hanyalah sebagai rakan biasa, namun masih ramai meragui status sebenar di antara pengarah dan pelakon, Datuk Hans Isaac dengan pelakon dan hos popular, Noor Neelofa Mohd. Noor.

Kemesraan di antara mereka kembali dikaitkan apabila gambar kedua-duanya sedang menjamu selera di Genting Highlands baru-baru ini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat dan netizen.

Menjawab mengenai status hubungan mereka, Hans menjelaskan mereka hanya berkawan dan saling menyokong kerjaya masing-masing, biarpun kini tidak lagi menjalin hubungan istimewa.

“Saya dah banyak kali jelaskan yang kami memang berkawan sahaja. Saya memang sentiasa menyokong apa sahaja yang dibuat Neelofa termasuk kariernya.

“Kalau dia ada buat silap sikit (dalam kerjaya), saya memang akan tegur dia. Bukan Neelofa sahaja, semua rakan-rakan memang saya akan tegur (kalau mereka ada buat silap),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran Kempen Tanggungjawab Sosial Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu di KLPac, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak. Turut hadir ialah barisan artis yang menyertai kempen tersebut seperti Neelofa, Nora Danish, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Maya Karin, Kavita Sidhu, Caprice dan Joe Flizzow.

Sementara itu, Neelofa turut menjelaskan dia dan Hans sehingga kini masih kekal berkawan kerana kedua-duanya saling bersikap profesional dan menghormati antara satu sama lain.

“Antara sebab kenapa saya boleh bekerjasama dengan Hans ialah kerana kami sangat profesional dalam kerjaya masing-masing. Malah, Hans juga hormatkan saya dan begitu juga saya yang sangat menghormatinya sebagai seorang artis senior.

“Katakanlah orang nampak saya keluar bersama dengan Hans selepas ini, kami memang tiada masalah untuk keluar makan berdua. Malah, memang sudah banyak kali kami keluar makan bersama sebelum ini,” ujar pelakon berusia 29 tahun itu sambil mengharapkan tidak timbulnya sebarang salah faham. – KopiPlanet.com

 

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button