
Kemurungan Bukan Gimik, Haqiem Rusli Akan Jumpa Pakar Psikiatri
Penyanyi Haqiem Rusli tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan isu kemurungan yang melibatkan dirinya.
Menurut Haqeim, dia tidak berniat untuk menipu mengatakan mempunyai penyakit kemurungan sebaliknya dia percaya apa yang dialaminya adalah tanda-tanda kemurungan ringan.
“Setiap manusia melakukan kesilapan. Apa yang saya nak cakapkan ini bukan gimik. Disebabkan kedegilan saya belum berjumpa doktor bagi merawat tapi saya percaya apa yang saya alami ini ialah mild depression berdasarkan kajian yang dilakukan rakan-rakan yang mana terjadi kepada saya seperti susah tidur (imsomnia), kerja berlebihan, berat badan tidak stabil.
“Esok saya akan berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat tentang perkara ini. Namun, saya memang tidak menipu bila saya kata ada kemurungan ringan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Haqiem ditemui pada majlis sidang media yang diadakan di Suka Sucre, Kuala Lumpur malam ini.
Menurut Haqeim lagi, dia mula berasa kemurungan sejak setahun lalu apabila penampilannya dikutuk segelintir individu sehingga menyebabkannnya ada terfikir mahu meninggalkan bidang seni.
Penyanyi muda itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mahu bersara dari dunia hiburan namun menarik semula keputusannya itu apabila mahu kekal mewarnai bidang nyanyian.
“Sejak Tergantung Sepi saya dah hadapi banyak kecaman. Puluhan ribu orang menghina saya. Muka banyak jerawat, muka tak hensem semua itu membuatkan saya murung.
“Sebenarnya saya memang sudah banyak kali menyuarakan hasrat untuk berhenti menyanyi tapi pihak pengurusan tidak endahkan sehingga menyebabkan saya simpan sendiri semua benda ini.
“Tapi saya memang tak salahkan sesiapa. Semua ini memang salah saya. Saya sedar penggunaan kata kemurungan itu terlalu berat. Saya minta maaf kerana telah tersalah cakap,” jelasnya lagi.
Sementara itu wakil pihak pengurusan FMC Music, Sam Samin berkata dia berharap semua pihak dapat memberi peluang kepada Haqiem memandangkan dia masih muda.
“Kami telah beri amaran kepada Haqiem jangan buat lagi seperti ini di masa akan datang. Kontrak akan dibatalkan kalau perkara macam ini berulang lagi.
“Tapi kami percaya dia dah belajar daripada kesilapan. Ada hikmahnya benda ini jadi pada dia, mungkin salah satu cara Allah nak menegur Haqiem,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi Ernie Zakri dan Wany Hasrita yang turut hadir pada majlis itu berkata mereka tidak bersetuju sekiranya topik kemurungan dijadikan sebagai gimik bagi memasarkan sesuatu produk oleh seseorang selebriti.
Ini kerana kemurungan bukan satu isu yang sensitif yang tidak sepatutnya dibuat mainan.
“Saya bukan tak sokong Haqiem, tetapi saya tidak bersetuju sekiranya diri saya dilibatkan dalam gimik seperti ini sekiranya betul ia satu gimik.
“Bagi saya isu kemurungan tidak boleh dibawa main kalau betul dia murung, dapatkan rawatan! Bukannya dengan menulis status di media sosial,” kata Ernie. – KopiPlanet.com




