
Penyanyi Indonesia, Afgan memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama untuk konsert jelajah sempena ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri seni.
Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 yang bakal diadakan pada 3 November ini dibawakan khas oleh Nizra Production Sdn Bhd.
Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Nik Iruwan Datuk Nik Izani, konsert kali ini adalah sebagai tanda terima kasih Afgan buat peminat setianya yang berada di negara ini.
“Tahun ini, genap 10 tahun Afgan terbabit dalam industri seni. Dia juga sudah memenangi pelbagai anugerah besar. Jadi, konsert ini sebagai tanda terima kasih buat peminat-peminatnya di Malaysia.
“Melihatkan jumlah peminatnya di Malaysia yang sangat ramai, kami yakin tiket konsert akan habis dijual” katanya kepada KopiPlanet.com.
Nik Iruwan ditemui pada majlis sidang media Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur yang diadakan di Hotel Traders, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang mampu memuatkan 2,500 penonton.
Menerusi sidang media itu, kumpulan Ruffedge turut diumumkan sebagai artis pembuka konsert pada malam itu nanti.
Tiket Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 akan mula dijual bermula hari ini menerusi www.premier.ticketcharge.com.my dan harga-harga tiket adalah RM288 untuk kelas Silver, RM588 (Gold), RM888 (Platinum) dan RM1,288 (Diamond VVIP).
Pembeli tiket kelas Diamond VVIP akan berpeluang bertemu dengan Afgan di sesi ramah mesra di samping menerima album Dekade lengkap dengan tanda tangan penyanyi bernama lengkap Afgansyah Reza itu.
Selepas Kuala Lumpur, dijadualkan mengadakan persembahan di Jakarta, Singapura dan Brunei. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Afgan