
Kritikan Sosial Siti Nurhaliza Menerusi Single Terbaharu 7 Nasihat
Setelah tampil dengan single Terang pada tahun lalu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza kini muncul pula dengan single terbaharu berjudul 7 Nasihat.
Menariknya, Siti Nurhaliza bergandingan dengan rapper yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang bertindak selaku komposer dan turut membuat penampilan istimewa menerusi single tersebut.
“Sebagai seorang artis senior, sudah tentu saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa.
“Peluang bergandingan dengan mereka merupakan salah satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda,” ujar beliau.
Menurut Siti, lagu 7 Nasihat ini adalah merupakan sebuah karya istimewa kerana ia menggabungkan elemen hip-hop, rap dan tradisional.
Jelas beliau, menerusi lagu ini juga ia dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali.
“7 Nasihat merupakan sebuah lagu yang bukan sahaja berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan, malah bait-bait katanya turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan,” ujar beliau.
Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 20 Februari 2020. – KopiPlanet.com