• FOLLOW US

Siti Nurhaliza Tampil Dengan Basyirah, Selitkan Unsur Timur Tengah

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza membawa perkhabaran gembira kepada peminatnya apabila muncul dengan single baharu berjudul Basyirah di semua pelantar digital.

Basyirah yang diambil daripada perkataan Arab yang membawa maksud khabar gembira adalah hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun manakala liriknya pula hasil nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

Tertarik dengan melodinya yang mempunyai unsur Timur Tengah, Siti memutuskan untuk merakamkan lagu tersebut dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai single sempena bulan bulan Ramadan ini.

“Demo lagu ini diterima agak lewat oleh pihak Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions untuk dimuatkan dalam album terbaru saya. Kami sepakat menyimpan lagu ini untuk projek khas pada masa akan datang.

“Disebabkan edaran album terbaru saya ditangguhkan, Basyirah berjaya saya rakamkan khusus untuk single Ramadan kerana bersesuaian dengan suasana kita sekarang ini.

Menurut Siti, pertama kali mendengar melodinya, dia akui jatuh hati kerana ia ada tarikan tersendiri. Tak dinafikan, ketika rakaman dirinya berasa sebak dan cuba menyampaikan seluruh maksud dalam lagu ini dengan penuh penghayatan.

Jelas beliau, walaupun lagu ini dilancarkan pada bulan yang penuh keberkatan ini, namun liriknya tidak menyentuh secara langsung mengenai Ramadan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ia adalah satu metafora terhadap situasi yang dialami dunia hari ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

“Ketika perbincangan, memang ada idea untuk memasukkan lirik yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku hari ini. Lagu ini juga menterjemahkan sebuah harapan bahawa satu hari nanti akan ada khabar gembira buat Malaysia untuk segera terhindar dari pandemik ini.

“Saya juga mengharapkan Basyirah mampu memberikan semangat kepada seluruh warga dunia yang menghadapi wabak dan petugas barisan hadapan yang berkorban sepenuh jiwa menjaga keselamatan negara,” ujar Dato’ Siti Nurhaliza.

Penyanyi bervokal mantap ini turut mengharapkan lagu ini dapat mengubat kerinduan peminat yang menantikan kemunculan album terbarunya.

Sementara itu, sebagai komposer yang bertanggungjawab untuk menghasilkan lagu itu, Hafiz akui Basyirah memberikan cabaran yang tersendiri buatnya.

“Kami rakamkan lagu ini ketika negara sedang melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Ini bermakna rakaman tidak boleh dilakukan di studio seperti kelazimannya dan perlu dilakukan secara berasingan iaitu Siti merakamkan lagu itu dari rumah.

“Memang agak mencabar kerana agak rumit lebih-lebih lagi membabitkan soal teknikal. Namun, kami berjaya melakukannya dan beliau berjaya menterjemahkan maksud keseluruhan lagu itu seperti yang dikehendaki,” kata Hafiz.

Pernah bekerjasama sebelum ini menerusi lagu Mikraj Cinta, Hafiz berkata dia tekah cuba memberikan yang terbaik untuk lagu itu.

“Sedikit sebanyak saya sudah boleh tahu mengenai kriteria sesebuah lagu yang ingin dinyanyikannya. Justeru saya cuba hasilkan sebuah lagu yang unik serta lain dari apa yang pernah didendangkannya sebelum ini seperti menekankan aspek taranum dalam sebutan dan juga menyelitkan elemen qasidah di dalamnya,” terangnya.

Berkongsi pendapat yang sama dengan Hafiz, Fedtri turut mendedahkan lirik lagu itu terpaksa dirombak beberapa kali untuk disesuaikan dengan kehendak Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

“Ketika mula mendengar lagu ini melodinya sangat melankolik dan apa yang terbayang dalam fikiran adalah ia sangat sesuai untuk sebuah lagu putus cinta.

“Namun memandangkan Siti mahukan lirik lagu ini ada kaitan dengan doa dan harapan rakyat yang mahukan wabak ini segera berakhir, saya ubah liriknya mengikut jalan cerita yang diberikan. Saya banyak menggunakan unsur perlambangan atau metafora dalam memilih perkataaan,” katanya.

Melihat baik lirik yang dihasilkan, Basyirah jelas mengajak umat islam menghayati zikir dan berdoa kepada Allah untuk diberi ketenangan di dalam kehidupan harian pada bulan yang sangat mulia untuk umat Islam ini.

Sementara itu, Pengurus Promosi Bahagian Domestik Universal Music, Anne Mukhtar memaklumkan lirik video Basyirah akan ditayangkan di laman YouTube Siti pada Jumaat (8 Mei) jam 3 petang.

“Pada sebelah malam pula, beliau akan muncul dalam siaran langsung di Instagramnya bersama Hafiz Hamidun dan Ahmad Fedtri Yahya jam 9 malam. Selain itu, Siti juga akan melancarkan #7nasihatchallenge di Tik Tok pada 11 Mei ini.

“Sempena pelancaran lagu ini di Joox pada 15 Mei ini, beliau turut mengundang peminat untuk berkaroke dengannya di Joox Karaoke,” katanya. – KopiPlanet.com

Kritikan Sosial Siti Nurhaliza Menerusi Single Terbaharu 7 Nasihat

Setelah tampil dengan single Terang pada tahun lalu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza kini muncul pula dengan single terbaharu berjudul 7 Nasihat.

Menariknya, Siti Nurhaliza bergandingan dengan rapper yang semakin meningkat naik iaitu pasangan duo Kmy Kmo dan Luca Sickta yang bertindak selaku komposer dan turut membuat penampilan istimewa menerusi single tersebut.

“Sebagai seorang artis senior, sudah tentu saya tidak mahu ketinggalan dengan peredaran muzik semasa.

“Peluang bergandingan dengan mereka merupakan salah satu cara untuk saya mendekati peminat muzik dan pendengar yang lebih muda,” ujar beliau.

Menurut Siti, lagu 7 Nasihat ini adalah merupakan sebuah karya istimewa kerana ia menggabungkan elemen hip-hop, rap dan tradisional.

Jelas beliau, menerusi lagu ini juga ia dapat menyuntik minat generasi muda menghayati gabungan irama yang digarap dengan begitu baik sekali.

“7 Nasihat merupakan sebuah lagu yang bukan sahaja berpaksikan kepada elemen muzik kemelayuan, malah bait-bait katanya turut melambangkan kesantunan orang Melayu dalam memberi kritikan sosial menggunakan bahasa kiasan,” ujar beliau.

Single terbitan Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 20 Februari 2020. – KopiPlanet.com

Akhirnya… Pengikut Instagram Siti Nurhaliza Cecah Enam Juta

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi artis dan rakyat Malaysia pertama yang mencapai enam juta pengikut di laman sosial Instagram.

Dengan jumlah berkenaan, penyanyi berkenaan mengungguli carta dengan menjadi artis tempatan yang mempunyai paling ramai pengikut Instagram.

Sebelum ini, instagram Siti Nurhaliza dan Neelofa menjadi perhatian netizen yang mahu melihat siapa antara mereka yang mampu mendapat enam juta pengikut terlebih dahulu.

Sementara itu, berada di kedudukan kedua pula pelakon dan pengacara MeleTOP iaitu Neelofa yang setakat ini mengumpul pengikut Instagram seramai 5.9 juta.

Berada di kedudukan ketiga pula adalah pelakon Nora Danish yang mempunyai pengikut Instagram seramai 5.7 juta. Sebelum ini, pelakon berkenaan pernah berada di tangga pertama sebelum dipintas oleh Neelofa.

Sementara itu, pelakon dan pelawak Zizan Razak pula menjadi artis lelaki yang mempunyai paling ramai pengikut Instagram iaitu seramai 5.6 juta. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

Dikritik Rosakkan Lagu Siti Nurhaliza, Masdo Teruk Dihentam Netizen

Akibat olahan lagu Purnama Merindu tidak menepati cita rasa pendengar, nampaknya kali ini nama Kugiran Masdo pula yang dikecam hebat oleh netizen menerusi media sosial.

Kejadian ini berlaku apabila nyanyian mereka dalam segmen tribute untuk penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dilihat pincang menerusi segmen Bombastik CTDK di salah sebuah stesen radio tempatan.

Tindakan Kugiran Masdo menyanyikan serta mengolah semula lagu tersebut telah menerima anggapan yang kurang menyenangkan daripada netizen yang menganggapnya sebagai satu penghinaan.

“Semoga tahun depan @hotfm976 hentikan program khas macam Bombastik CTDK kalau macam ni kualiti penyanyi yang diketengahkan untuk buat tribute!!

“MASDO clearly butchered the whole song jadi sampah, dengan lirik berterabur sana sini.

“Langsung tidak respect lagu ini dan penyanyi asalnya.

“Nyanyi sudah macam orang mabuk ketum. Ini bukan tribute, ini penghinaan tahu tak?

“Berdarah oii telinga aku dengar Masdo hancurkan lagu Purnama Merindu. Biadap betul buat lagu orang jadi sampah macam ini,” kongsi salah seorang pengguna di Twitter.

Namun demikian, walaupun menerima kecaman serta kritikan yang hebat namun ada juga netizen yang memandang perkara tersebut daripada sudut positif dengan memuji versi serta olahan yang dilakukan kugiran tersebut mengikut identiti mereka yang tersendiri. – KopiPlanet.com