• FOLLOW US
Antarabangsa, Hollywood

Lady Gaga Wakili Bradley Cooper Terima Trofi Persembahan Duo Terbaik

Penyanyi dan pelakon Lady Gaga mewakili rakan seduetnya, Bradley Cooper bagi menerima trofi Persembahan Duo/Kumpulan Terbaik yang dimenangi mereka menerusi Anugerah Grammy ke-61, hari ini.

Bradley tidak dapat bersama-sama menghadiri anugerah berprestij muzik di Amerika itu kerana berada di kota London untuk anugerah filem Bafta yang diadakan pada hari yang sama.

Pasangan itu memenangi kategori tersebut menerusi persembahan cemerlang dalam lagu Shallow yang dipetik melalui filem gandingan mereka, A Star Is Born.

Gaga dan Bradley mengalahkan tiga pesaing lain yang turut tercalon iaitu Christina Aguilera/Demi Lovato (Fall In Line), Backstreet Boys (Don’t Go Breaking My Heart) dan Maroon 5/Cardi B (Girls Like You).

“Saya harap Bradley ada bersama saya pada saat ini. Bradley saya sangat senang menyanyikan lagu ini bersama kamu. Saya sangat berbangga dapat jadi sebahagian daripada filem ini yang memberikan fokus terhadap masalah kesihatan mental, ianya sangat penting,” katanya sebaik menerima anugerah tersebut.

Anugerah Grammy edisi ke-61 yang diadakan di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat dihoskan oleh penyanyi Alicia Keys. Turut bersama Alicia pada di awal pembukaan majlis ialah Gaga, Jennifer Lopez, Jada Pinkett Smith dan bekas Wanita Pertama AS, Michelle Obama.

Anugerah Grammy pada tahun lalu berdepan kecaman daripada feminis apabila dikatakan mendiskriminasi pencalonan artis wanita apabila kebanyakan kategori dimonopoli artis lelaki.

Untuk tahun ini, kategori Album Terbaik telah dipelopori seramai lima penyanyi wanita daripada lapan pencalonan.

Sementara itu, mendiang vokalis kumpulan Audioslave, Chris Cornell telah memenangi trofi bagi Persembahan Rock Terbaik menerusi lagu When Bad Does Good menewaskan Arctic Monkeys dan Greta Van Fleet.

Anugerah itu disampaikan kepada kedua-dua anak mendiang iaitu Toni dan Christopher.

Cornell ditemui mati tergantung di dalam bilik hotel di Detroit pada 18 Mei 2017 dan kematiannya disahkan sebagai kes bunuh diri. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend